PENYERANG Manchester United, Marcus Rashford tidak sabar selepas diundi untuk menentang seteru utama mereka Manchester City dalam aksi separuh akhir Piala Liga Inggeris.
Menurutnya, ia bakal menjadi perlawanan getir buat kedua-dua pasukan tetapi percaya kelebihan akan memihak kepada pasukannya.
Kedua-dua gergasi Liga Perdana Inggeris itu menewaskan kelab kurang ternama di saingan suku akhir awal pagi tadi dan bakal membuat perhitungan sesama sendiri yang dijadualkan pada Januari tahun depan.
"Tugas di suku akhir telah selesai dan kami melangkah ke separuh akhir. Fokus untuk satu lagi derbi menentang City. Menarik untuk bermain dan menarik juga untuk menang perlawanan itu nanti," katanya menerusi ciapan di laman Twitternya.
Dalam aksi di peringkat suku akhir, United mudah membenam cabaran Colchester United 3-0 di Old Trafford dengan Rashford muncul salah seorang penjaring buat The Red Devils.
Ia sekali gus meneruskan rentak cemerlangnya dengan mengumpul 14 gol dalam semua kejohanan musim ini.
Penyerang England itu juga muncul penjaring ketika United melakarkan kejutan menewaskan The Citizen 2-1 dalam aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris awal bulan ini.
Sementara itu, dalam satu lagi aksi separuh akhir akan menemukan Leicester City dan Aston Villa.