SHAH ALAM - Pengakuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan peranan besar DAP dalam pentabiran kerajaan PH membuktikan lagi bahawa parti itu sangat berpengaruh bagi kerajaan hari ini.
Ketua Penerangan Umno, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, sebelum ini beberapa pemimpin PH membuat penafian apabila ada yang mendakwa DAP menguasai kerajaan.
Namun katanya, selepas pengakuan yang dibuat sendiri oleh Dr Mahathir itu jelas membuktikan dakwaan terhadap DAP selama ini benar.
"Hakikatnya kita dapat melihat kekuatan DAP dalam Kerajaan PH apabila pemimpin DAP diberikan posisi atau peranan besar umpamanya Menteri di Kementerian Kewangan, Menteri di Kementerian Penerangan Dan Komunikasi, Kementerian Sumber Manusia dan beberapa lagi.
"Kita tidak rasis dalam soal ini kerana sewaktu Kerajaan BN juga ramai pimpinan MCA atau Gerakan yang mewakili kaum Cina diberikan peranan.
"Namun sikap DAP yang masih tidak berubah serta masih berpegang kepada prinsip lamanya menyebabkan banyak perkara yang menimbulkan perasaan tidak puas hati terutama dikalangan masyarakat Melayu dan Bumiputera," katanya kepada Sinar Harian, di sini, hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Lenggong itu lagi, beliau juga sukar mempercayai kenyataan Dr Mahathir bahawa DAP telah banyak berubah berikutan beberapa tindakan pemimpin parti itu dalam memperjuangkan beberapa isu sensitif.
"Kita boleh lihat beberapa isu yang berlaku misalnya isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi (ICERD), isu kematian anggota bomba, penjualan banyak aset Tabung Haji (TH) dan benerapa agensi kerajaan yang lain.
"Ini semua menunjukan pengaruh DAP yang menentukan serta menyebabkan perkara ini berlaku," katanya.
Dr Mahathir semalam membuat pengakuan bahawa DAP memainkan peranan penting dalam menentukan perkara membabitkan pentadbiran kerajaan dan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.
Pengakuan itu dibuat dihadapan penyokongnya ketika hadir menyempurnakan perasmian Pejabat Bersatu Negeri Terengganu di Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu, semalam.
Katanya lagi, pada awalnya DAP merupakan parti seteru, namun keadaan berubah menjadikan parti itu sebagai rakan sekutu kepada Bersatu sehinggalah PH berjaya membentuk kerajaan selepas menang pada PRU14 Mei lalu.