Permohonan Najib panggil pakar periksa dokumen didengar 7 Januari

Iklan
Najib

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 7 Januari depan untuk mendengar permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memanggil pakar pemeriksa dokumen dari Australia untuk memeriksa dokumen yang telah dikemukakan sebagai eksibit dalam perbicaraan kesnya membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Bekas perdana menteri itu kini membela diri terhadap tiga pertuduhan pecah amanah, satu tuduhan salahguna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC di Mahkamah Tinggi di sini.

Iklan
Iklan

Perkara itu dimaklumkan peguam Nur Syahirah Hanapiah yang mewakili Najib selaku pemohon kepada media selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Mahyudin Mohmad Som hari ini.

"Pihak kami telah memfailkan permohonan ini pada 16 Disember lepas dan pendengaran permohonan ini akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Iklan

"Saksi pakar ini adalah untuk melihat sama ada dokumen yang ditandatangani oleh Najib adalah tulen atau tidak, jadi beliau (saksi pakar) perlu melihat dokumen yang telah ditanda di mahkamah," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Sulaiman Kho Kheng Fuei mewakili pendakwaan yang dinamakan sebagai responden dalam permohonan itu.

Iklan

Pada 9 Disember lepas, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan memanggil pakar tandatangan dari Australia dalam prosiding bela diri ahli Parlimen Pekan itu bagi menentukan kesahihan beberapa dokumen mengandungi tandatangan anak guamnya yang dikemukakan di mahkamah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram membantah permohonan itu atas alasan ia boleh menyebabkan prejudis terhadap kes pendakwaan dan meminta pihak pembelaan supaya mengemukakan permohonan serta afidavit kepada mahkamah berhubung perkara tersebut.

Hakim Mohd Nazlan yang mendengar kes itu memutuskan bahawa pihak pembelaan perlu memfailkan permohonan rasmi untuk dipertimbangkan oleh mahkamah.- Bernama