KUALA LUMPUR - Firma rundingan, Pemandu Associates menggantung tugas seorang kakitangannya yang membuat ciapan menghina institusi raja di Twitter.
Ciapan itu dibuat selepas Sultan Muhammad V melepaskan jawatan Yang di-Pertuan Agong, kelmarin.
Melalui kenyataan di Facebook, firma rundingan itu berkata, dalam masa sama, siasatan dalaman sedang dilakukan terhadap tindakan kakitangan itu.
"Kakitangan Pemandu Associates yang terlibat dalam dakwaan memaparkan sebuah tweet (ciapan) berkenaan institusi raja telah digantung kerja sementara siasatan dalaman dijalankan oleh syarikat
"Pemandu Associates memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya,” kata kenyataan itu, hari ini.
Pemandu Associates mengambil tindakan itu selepas laman Facebook mereka dihujani dengan komen netizen yang mahukan firma rundingan itu mengambil tindakan terhadap kakitangan tersebut.
Sebelum ini, seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Eric Liew dikecam selepas membuat komen jelek terhadap Sultan Muhamamad V.
Selepas mendapat desakan daripada pengguna Facebook, syarikat Cisco Systems Malaysia (Cisco) di mana individu tersebut bekerja turut menyatakan bahawa Liew tidak lagi bekerja di syarikat berkenaan.
Perkara itu disahkan Pengarah Urusannya, Albert Chai sambil menjelaskan Liew meninggalkan syarikat, semalam.