KOTA TINGGI - Bekalan ayam di negeri ini dikhuatiri terjejas berikutan gangguan kepada pengeluaran ayam di Ladang Bukit Cerakai, di sini, yang merupakan antara tempat pengeluaran ayam di Johor.
Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kota Tinggi Timur Mohd Ainuddin Wahid berkata, ladang ternakan ayam daging kira-kira 0.8 hektar (dua ekar) itu dinaiki air sehingga 1.5 meter (lima kaki) berikutan hujan lebat sejak Sabtu lepas.
Kini, ladang tersebut yang mempunyai 10 reban dan mampu menampung 60,000 ekor ayam, diselaputi lumpur selain beberapa infrastruktur seperti pam air, mini traktor dan lain-lain lagi mengalami kerosakan.
"Mujur kita sudah sempat jual 40,000 ekor pada pusingan keempat pengeluaran bulan lepas. Disebabkan banjir, kita terpaksa tangguh pusingan pengeluaran seterusnya dan ini dilihat bakal menjejaskan bekalan ayam di negeri ini,” kata beliau ketika ditemui di ladang itu, di sini, hari ini.
Menurut Mohd Ainuddin, pihaknya akan membuat post mortem dan memulakan proses pembersihan yang dijangka siap seawal bulan Januari atau selewat-lewatnya bulan Mac, dengan melibatkan 50 pekerja.
"Apa yang penting, kita kena pastikan pembersihan dilakukan sebaiknya memandangkan sistem penternakan ayam secara terbuka ini sangat menitikberatkan kebersihan. Faktor utama yang boleh menjejaskan pengeluaran ayam ialah kekotoran,” kata beliau.
Menurut Mohd Ainuddin, setiap tahun ladang ayam itu melalui lima hingga enam pusingan pengeluaran, yang mana satu pusingan melibatkan 60,000 ekor ayam.
Buat masa ini, PPK Kota Tinggi Timur terpaksa menanggung kos pembersihan sendiri, selain kerugian dari segi hasil dijangka mencapai RM100,000.
Selain itu, ladang berkenaan yang juga mempunyai 224 hektar (560 ekar) kelapa sawit, turut terjejas ekoran banjir.
"Kira-kira 168 ekar kelapa sawit terendam air banjir. Satu ekar selalunya boleh hasilkan satu tan, jadi kalau 168 ekar mewakili 168 tan buah kelapa sawit yang rosak dan tidak boleh dijual,” kata beliau.
Kerugian dianggarkan dalam RM60,000. - Bernama