BRISBANE - Meskipun dilahirkan orang kurang upaya (OKU), gadis ini cukup bertuah kerana terpilih menjadi seorang supermodel.
Perkongsian di laman sosial mendedahkan, Madeline Stuart pernah diberi mandat memperagakan fesyen pada sesi peragaan Norish Kareem (NK) Fashion Show (NKFS) berlangsung di London, United Kingdom (UK) baru-baru ini.
Gadis, 22, menghidap penyakit sindrom down itu mendapat sokongan dan dorongan daripada ibunya, Rosanne Stuart untuk menjadi seorang model.
Mereka juga sering pergi ke gim untuk bersenam bagi mengekalkan keseimbangan berat badan selain mengamalkan gaya hidup sihat.
Terbaharu, Madeline memuat naik di Instagram miliknya menyatakan wajahnya menghiasi majalah Girlfriend Mag yang menjadi idamannya selama ini.
"Sangat berbesar hati kerana sebaris dengan wanita luar biasa iaitu seramai 25 wanita hebat menghiasi majalah Girlfriend Mag. Antaranya penyanyi, model dan artis, Alli Simpson.
"Kita benar-benar menguasai dunia. Terima kasih Girlfriend Mag kerana menerbitkan kisah saya untuk tatapan pembaca.
"Tiada yang lebih menggembirakan selain apa yang saya perolehi hari ini. Menterjemahkan kepelbagaian dan menunjukkan dunia kita semua sama dan cantik," tulisnya di Instagram miliknya.