KUALA LUMPUR - Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menarik perhatian Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 dengan menegaskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilihat tidak relevan kerana telah gagal mengangkat suara 1.7 bilion umat Islam seluruh dunia.
Menurutnya, Majlis Keselamatan PBB tidak berupaya mencari penyelesaian terhadap negara Islam yang bergolak serta menegakkan keadilan.
"PBB yang ditubuhkan selepas Perang Dunia Kedua dipertanggungjawabkan mempertahan hak dan kepentingan kuasa-kuasa global. Namun Majlis Keselamatan PBB tidak mewakili 1.7 bilion umat Islam di dunia dan saya percaya mereka sudah tidak lagi relevan," ujarnya.
Sementara itu, Erdogan berkata, penderitaan umat Islam hari ini adalah berpunca kerana sikap mereka sering mengambil jalan keluar mudah dan bukannya mencari pendekatan tersendiri.
Beliau memberikan contoh, berdasarkan aspek perdagangan, politik, dasar luar hingga industri dan teknologi, negara Islam gagal mencapai potensi sebenar, malah ekonomi global tidak sampai 10 peratus.
"Malah jurang pendapatan antara negara Islam terkaya dan termiskin di dunia melebihi 200 kali ganda, meskipun negara Islam menguasai 59 peratus sumber minyak dan 58 peratus sumber gas asli global," katanya ketika berucap dalam Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini semalam.
Sementara itu, Erdogan turut menggesa peranan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di dalam menyuarakan masalah dunia Islam diperkukuh supaya ia dilihat berkesan bagi menyuarakan masalah umat Islam.
Erdogan berkata, sepanjang tempoh tiga tahun menjadi Presiden OIC, ia tidak cukup dengan hanya sekadar bercakap dan mengenal pasti masalah, namun memerlukan satu pemantauan teliti kepada setiap keputusan diambil bagi memastikan pelaksanaannya dapat dilakukan.
Oleh demikian katanya, negara Islam sehingga kini masih bergantung kepada lima kuasa dunia bagi mengangkat suara mereka yang dilihat lebih mencari penyelesaian kepada naratif keganasan yang dikaitkan dengan Islam.
"Jika majoriti umat Islam masih bergelut dengan kelaparan, kemiskinan dan kejahilan walaupun memiliki segala kemudahan, minyak, penduduk serta sumber semula jadi, kita harus terlebih dulu mencari kesilapan dalam diri masing-masing," katanya.
Beliau menjelaskan, dunia Islam sebenarnya tidak lemah malah tidak wujud perbezaan dengan lawan mereka daripada segi tenaga sumber, jumlah penduduk dan kedudukan geografi, malah berada di kedudukan yang lebih baik berbanding negara lain.