PASIR MAS - Jenazah gadis yang menghidap penyakit 'misteri' sehingga berat badannya mencecah 200 kilogram (Kg) selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gaung, Tendong dekat sini hari ini.
Nur Izzati Afiqah Hussein, 29, yang menderita sejak lima bulan lalu akibat kenaikan berat badan mendadak itu dikebumikan pada jam 2.40 petang tadi.
Urusan pengebumian bekas tenaga pengajar kontrak di Pusat Pembangunan Kemahiran Melaka itu berjalan sempurna dengan bantuan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas di bawah pimpinan ketuanya, Penolong Penguasa Bomba Sapawi Setapa.
Turut membantu proses pengebumian ialah ahli keluarga terdekat, penduduk kampung serta Pertubuhan Amal Teras Insaniah Malaysia (Alteras).
Terdahulu jenazah Nur Izzati Afiqah disembahyangkan di rumah keluarganya.
Hadir sama Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kehidupan bekas tenaga pengajar kontrak di Pusat Pembangunan Kemahiran Melaka berubah sepenuhnya apabila berat badannya naik mendadak secara 'misteri' sehingga 200kg dalam tempoh tiga bulan.
ARTIKEL BERKAITAN Gadis 200kg meninggal dunia