Lingam gagal ketepi sabitan hina mahkamah, penjara

Iklan
V. K. Lingam

PUTRAJAYA - Bekas peguam Datuk V. K. Lingam gagal dalam usaha untuk mengetepikan sabitan menghina mahkamah dan hukuman penjara enam bulan.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum yang mengetual panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, dalam keputusan sebulat suara berkata, Lingam gagal memenuhi tahap keperluan di bawah Peraturan 137 Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan, 1995 untuk menyemak keputusan panel Mahkamah Persekutuan sebelumnya.

Iklan
Iklan

Beliau juga berkata, peruntukan Perintah 32 Peraturan-peraturan Mahkamah, 2012 yang dengannya dipakai oleh Lingam bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara, tidak boleh digunakan oleh kerana peraturan itu terpakai hanya kepada prosiding dalam kamar.

Lingam, 67, memohon semakan terhadap sabitan dan hukuman penahanan di bawah Peraturan 137 Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan dan juga memohon agar beliau dibebaskan oleh mahkamah dari dakwaan menghina di bawah Perintah 32 Peraturan-peraturan Mahkamah 2012.

Iklan

Pada November 2017, dengan ketidakhadiran Lingam, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abu Samah Nordin (kini bersara) mendapati beliau bersalah menghina mahkamah kerana menuduh seorang hakim mahkamah persekutuan melakukan amalan plagiat dalam penghakiman bertulis dan mengenakannya hukuman penjara enam bulan.

Hakim-hakim lain pada panel Mahkamah Persekutuan yang bersidang hari ini ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk David Wong Dak Wah, dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, dan Tan Sri Idrus Harun.

Iklan

Peguam R.Thayalan berhujah bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan mensabitkan Lingam didorong oleh pertimbangan berat sebelah oleh kerana beberapa hakim yang menyidangi panel Mahkamah Persekutuan itu tidak harus menghakimi dalam prosiding menghina terhadap beliau (Lingam) oleh kerana mereka sebelum ini telah bersidang pada panel yang mendengar perkara yang serupa membabitkan pemegang saham majoriti dan minoriti Kian Joo Can Factory Bhd (KJCF).

Beliau berkata Lingam tidak pernah mengelak dari hadir di mahkamah dan hanya tidak hadir bila keadaan kesihatan menghalangnya daripada pulang ke Malaysia.

Peguam kanan persekutuan Alice Loke Yee Ching menyanggah, dan berkata Lingam meninggalkan negara ini pada 2013 dan tidak kembali, dan menyatakan berlaku beberapa penangguhan prosiding mahkamah dan Lingam mengemukakan sijil sakit dengan menyatakan beliau tidak sihat untuk mengembara.

Lingam, bekas pengarah urusan kumpulan Kian Joo Can Factory Bhd (KJCF), Datuk See Teow Chuan, dan 23 yang lain dituduh menghina mahkamah lima tahun lalu, kerana mendakwa seorang hakim Mahkamah Persekutuan telah memplagiat penghakimannya dalam satu kes komersial berkaitan KJCF.

Pada November 2016, Mahkamah Persekutuan mengenakan denda berjumlah RM2.15 juta ke atas seorang peguam A.S. Thisinayagam, 12 pemegang saham majoriti dan lapan minoriti syarikat itu.

Dua lagi pemegang saham minoriti KJFC masing-masing juga didenda RM100,000 kerana menghina mahkamah pada 26 Sept, tahun lepas. - Bernama