KEMENANGAN pasukan Proton R3 yang meraih tempat pertama dan kedua pada perlumbaan Sepang 1,000km (S1K) baru-baru ini menjadi buah mulut ramai.
Pun begitu, pada masa sama apa yang paling memberi kejutan adalah pencapaian pasukan terakhir pelumba R3.
Pasukan tersebut terdiri daripada tiga pelumba wanita yang memandu Proton Saga iaitu Leona Chin, Faye Kusairi dan Nurul Husna yang mendapat tempat ketujuh. Mereka merekodkan pencapaian terbaik daripada barisan pelumba wanita.
Pencapaian tersebut telah membuktikan keberanian dan kecekalan mereka menempuh satu perlumbaan yang sangat mencabar.
Berbeza dengan pelumba R3 yang lain, ketiga-tiga pemandu wanita itu tidak mempunyai pengalaman bersaing bersama di dalam Siri Kejuaraan Malaysia (MCS).
Faye dan Nurul dipilih melalui inisiatif pencarian pasukan pelumba wanita, manakala Leona pula adalah pemandu profesional yang pernah bersaing di MCS. Acara S1K 2019 memperlihatkan mereka berkongsi memandu kereta yang sama buat kali pertama.
Meskipun baharu sahaja terlibat dengan R3 dan bekerjasama antara satu sama lain, kepantasan pemanduan ketiga-tiga mereka terbukti menonjol semasa sesi latihan yang meletakkan mereka di kedudukan lapan teratas secara konsisten.
Masalah teknikal pada sesi kelayakan memerlukan pasukan itu bermula di belakang garisan kelas M-Pengeluaran.
Memulakan perlumbaan di kedudukan ke-26 tidak sesekali mematahkan semangat mereka yang mana ketiga-tiga mereka telah memandu penuh berkemahiran dan kesabaran yang tinggi melalui strategi yang diatur ketika di dalam litar.
Oleh itu, tidak hairanlah semasa Leona melepasi garisan penamat selepas sembilan jam mengharungi cabaran, mereka akhirnya layak meraih kedudukan ketujuh.