Penjawat awam jadi 'kambing hitam' tutup kelemahan PH

Iklan
Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

SHAH ALAM - UMNO mendakwa sejak Pakatan Harapan (PH) menduduki Putrajaya pada PRU14, penjawat awam sentiasa menjadi sasaran kambing hitam dan kritikan hanya untuk menutup kelemahan kepimpinan kerajaan.

Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asraf Wajdi Dusuki berkata, ironinya penjawat awam dilonggokkan dengan bebanan tugas namun kebajikan mereka masih gagal dibela dan dijaga sebagaimana lapan perkara.

Iklan
Iklan

Katanya, lapan perkara tersebut adalah pengecilan saiz perkhidmatan awam; pembatalan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) Khas 2018; kegagalan melaksanakan dasar Gaji Minima RM1,500 serta tiada semakan gaji penjawat awam dan pengurangan bayaran khas (Bonus Khas).

Menurutnya, empat perkara lagi adalah pemberhentian Program Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM); cadangan pindaan kepada umur berpencen dari 60 tahun ke 65 tahun; pertukaran Skim Lantikan Tetap kepada Skim Lantikan Kontrak serta kurang kepercayaan kepada penjawat awam sedia ada.

Iklan

"Penjawat awam dilabel ‘biawak hidup’ dan 'beban mati’ oleh DAP kerana didakwa terlalu ramai hingga kerajaan terpaksa menanggung kos perbelanjaan emolumen dan bayaran pencen yang tinggi.

"Rejim PH telah mensasarkan pengurangan perjawatan 5 peratus penjawat awam setiap tahun yang pastinya menjejaskan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat pada masa akan datang," katanya dalam entri Facebooknya semalam.

Iklan

Katanya lagi, kerajaan PH turut membatalkan KGT Khas seperti diumumkan semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-16 (MAPPAXVI) oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sepatutnya berkuatkuasa pada 1 Jun 2018 dengan alasan bahawa kekurangan pendapatan kerajaan walaupun rekod menunjukkan hasil kerajaan Persekutuan dicatatkan meningkat sebanyak 6.4 peratus.

Menurutnya, kerajaan PH gagal menunaikan janji gaji minima RM1,500 dengan memberi alasan kenaikan gaji minima akan dilaksanakan berperingkat selama lima tahun dan pada masa sama tidak meneruskan cadangan BN untuk gaji minima RM1,200.

Keterangan gambar - Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

"Kerajaan PH tidak bersungguh melakukan semakan gaji penjawat awam walaupun pelbagai cukai baharu seperti cukai digital diperkenalkan selain kos sara hidup yang makin membebankan.

"Bayaran Khas sempena perayaan dan musim persekolahan juga dikurangkan sedangkan waktu seperti inilah trend perbelanjaan mereka meningkat," katanya.

Selain itu, katanya, Belanjawan 2020 didapati tiada lagi peruntukan khas bagi pembinaan PPAM dengan alasan yang tidak munasabah dan bakal menekan penjawat awam khususnya kakitangan awam muda untuk memiliki rumah sendiri dan mampu milik.

Menurutnya, cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) agar umur persaraan dinaikkan ke 65 tahun sering mendapat alasan dan dianggap kurang popular oleh kerajaan.

"Hakikatnya negara akan menuju negara tua pada tahun 2030, sewajarnya cadangan ini diangkat sebagai usaha yang lebih pragmatik oleh kerajaan PH," katanya.

Dalam pada itu, katanya, pengumuman ketua pengarah Perkhidmatan Awam pada bulan September 2019 yang lalu bahawa kerajaan bakal melaksanakan Skim Lantikan Kontrak yang ditambahbaik dan memberhentikan Skim Lantikan Tetap Berpencen menyerlahkan sikap PH mahu mengurangkan jumlah penjawat awam sekaligus menafikan hak bakat-bakat muda pada masa depan dalam Perkhidmatan Awam.

Menurutnya, janji manifesto yang sukar malah mustahil untuk dilaksanakan diletakkan sepenuhnya pada bahu penjawat awam.

"Pelbagai tuduhan dilemparkan seolah wujud sabotaj khususnya pengurusan tertinggi atas prestasi pencapaian janji-janji tersebut.

"Penjawat awam sebaliknya dituduh menyokong 'daulah terpendam’ atau ‘deep state’ walaupun mereka hanya melaksanakan tugasan mengikut garis panduan dan prosedur yang ditetapkan," katanya.

Justeru, Pemuda UMNO Malaysia mendesak kerajaan PH untuk memberikan keadilan dan mengutamakan kebajikan penjawat awam yang selama ini menjadi nadi utama operasi kerajaan dan kecemerlangan negara.

"Hentikan menyalahi dan hormati etika profesionalisme mereka. Mereka hanya berusaha melaksanakan tanggungjawab dengan penuh berintegriti dan berakauntabiliti tanpa terikat dengan politik kepartian," tambahnya.