Multi-tasking itu hanya mitos?
TAHUN baharu, azam baharu. Di awal tahun, semangat kita masih tinggi dan membara untuk melakukan sesuatu yang signifikan buat tahun 2023 ini. Berbekalkan tenaga dan fikiran yang segar, banyak perancangan telah diatur dan mula dikerjakan.
Betapa pun, segala-galanya kembali pada paksi diri sendiri. Kita tahu kekuatan dan kelemahan diri atau bila masa kita rajin mahu pun malas. Bila pula masa kita boleh berlebih kurang dan bila pula kita begitu cerewet.
Pokok pangkalnya, ia soal menjalankan tugas dan tanggungjawab yang kita sebut sebagai ‘kerja.’ Aktiviti ‘kerja’ mempunyai tujuan jangka pendek iaitu menyudahkan. Di peringkat peribadi, aktiviti kerja melibatkan membaca, mengkaji, menelah, merangka, mengira dan menulis.
Di peringkat kumpulan pula sesuatu kerja itu perlu dibincang, dibahas dan disepakati sebelum ia mula dilaksanakan. Kemudian kejayaan atau kegagalan sesebuah kerja itu dikaji untuk menilai keberkesanannya.