KUALA TERENGGANU - Mangsa banjir di Hulu Terengganu dan Dungun yang dipindahkan bermula jam 6 petang semalam di benarkan pulang ke kediaman masing-masing.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, keadaan cuaca bertambah baik membantu penurunan aras air walaupun paras air sungai di dua daerah itu menunjukkan peningkatan malam tadi.
"Cuaca keseluruhan di Terengganu bertambah baik pagi tadi.
"Aras air di sebahagian lembangan sungai juga sebahagian besarnya menurun. Beberapa sungai sahaja yang menunjukkan kenaikan akibat implikasi aliran air sungai dari hulu ke hilir atau muara sungai," katanya.
Menurutnya, semua amaran hujan berterusan di Terengganu kini ditamatkan.
"Mengikut ramalan mingguan terkini Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) tiada hujan lebat berterusan sehingga 25 Disember depan," katanya.
Beliau berkata, amaran hujan lebat peringkat waspada yang bermula sejak dua hari lalu menyebabkan banjir di dua daerah iaitu Hulu Terengganu dan Dungun.
Bagaimanapun katanya, setakat ini hanya tinggal satu daripada lima pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sejak petang semalam.
"Jadi, hari ini PPS itu masih dibuka. Jika air surut sepenuhnya esok, PPS berkenaan akan ditutup," katanya.