LZNK lantik Ar Rahnu YaPEIM sebagai ejen kutipan zakat

Iklan
Syeikh Zakaria (kiri) dan Mohamad Fozi (kanan) menandatangani MoU pelantikan Ar Rahnu YaPEIM sebagai ejen kutipan zakat LZNK, disaksikan Parihah (kanan) di Menara Zakat hari ini.

ALOR SETAR - Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) muncul sebagai institusi zakat pertama menjalin kerjasama bersama Koperasi YaPeim Berhad (KYB) sebagai ejen perunding kutipan zakat.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, perkhidmatan ejen perunding zakat ini akan dilaksanakan di 22 buah cawangan Ar Rahnu YaPEIM di seluruh negeri ini, berkuat kuasa Isnin depan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, semua jenis zakat boleh dibayar di kaunter Ar Rahnu YaPEIM, termasuk zakat fitrah pada Ramadan akan datang.

"Kita lantik Ar Rahnu YaPEIM sebagai pusat kutipan zakat dan pusat agihan kepada asnaf yang menerima bantuan LZNK, di mana mereka boleh tunaikan bantuan terbabit di kaunter disediakan,” katanya.

Iklan

Syeikh Zakaria berkata, pihaknya yakin kutipan zakat akan terus meningkat dengan adanya kemudahan terbabit yang lebih menyeluruh, selain menawarkan kemudahan kepada pembayar zakat dan penerima zakat di negeri ini.

"Ar Rahnu merupakan pajak gadai berkaitan emas apabila ia menjadi agen kutipan zakat, sudah tentu data putaran gadaian dalam negeri ini akan diperoleh. Selain berpotensi merancakkan ekonomi, ia diyakini memberi manfaat kepada banyak pihak,” katanya.

Syeikh Zakaria (empat dari kiri) dan Parihah (empat dari kanan) bergambar selepas majlis MoU antara LZNK dan KYB, atas pelantikan sebagai agen kutipan zakat di Kedah hari ini.

Iklan

Menurutnya, pihaknya turut mengalu-alukan agensi lain seumpama yang berminat menjalin kerjasama untuk memudahkan pembayaran zakat di negeri ini.

Terdahulu, majlis menandatangani memorandum perjanjian perkhidmatan ejen perunding zakat di cawangan Ar Rahnu YaPEIM Kedah dimeterai antara LZNK diwakili Syeikh Zakaria dengan Pengerusi KYB, Mohamad Fozi Tunggal, disaksikan Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan, di Menara Zakat hari ini.

Parihah berkata, dengan jumlah pelanggan mencecah 18,000 di 22 cawangan Ar Rahnu YaPEIM, pihaknya yakin kerjasama ini bakal memanfaatkan kedua-dua pihak.

"Kerjasama ini akan memperkemaskan lagi perkhidmatan kami bukan sahaja bertumpu kepada produk pajak gadai semata-mata, sebaliknya mempelbagaikan produk ditawarkan di pasaran,” katanya.

Menurutnya, modul program perintis ini akan diperluaskan ke negeri-negeri lain selepas Kedah muncul negeri pertama.