Pemecatan Trump hanya satu drama

Iklan
Proses pemecatan Presiden Donald Trump oleh Dewan Perwakilan yang diterajui Demokrat dilihat tidak lebih sebagai satu drama dalam senario Amerika Syarikat (AS).

KUALA LUMPUR - Proses pemecatan Presiden Donald Trump oleh Dewan Perwakilan yang diterajui Demokrat dilihat tidak lebih sebagai satu drama dalam senario Amerika Syarikat (AS) dan tidak mungkin menimbulkan kebimbangan yang besar di kalangan peserta pasaran global.

Ketua Penganalisis Pasaran Asia AxiTrader, Stephen Innes ketika dihubungi Bernama hari ini menjelaskan, pemecatan itu dilihat sebagai langkah partisan Demokrat supaya imej Presiden dari parti Republikan itu kekal tercalar.

Iklan
Iklan

"Proses pemecatan ini tidak akan mendapat kelulusan undi Senat yang dikuasai Republikan, tetapi pihak Demokrat akan cuba melambatkan proses bagi menghalang Senat untuk membuang terus cadangan berkenaan.

"Memandangkan Republikan memegang majoriti Senat, cadangan itu memerlukan sokongan 20 senator Republikan, bagaimanapun, sehingga sekarang, belum ada tanda mereka bersetuju untuk berbuat demikian,” katanya.

Iklan

Oleh itu, Innes berkata, pasaran global beranggapan pemecatan ini sebagai 'isu nyamuk'.

Naib Presiden Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd, Vincent Lau turut bersetuju dengan pandangan Innes dan berkata, berita tersebut tidak akan menimbulkan kebimbangan yang besar di kalangan pelabur kerana ramai yang percaya bahawa tidak mungkin bagi Senat yang dikawal Republikan akan membuang Trump dari pejabat dalam perbicaraan yang akan bermula pada Januari 2020.

Iklan

"Ini bukan perkara besar untuk dibimbangkan. Paling buruk pun, proses pemecatan itu hanya akan memalukan atau menjejaskan imej Trump sahaja memandangkan beliau merupakan presiden AS yang ketiga pernah menjalani proses pemecatan oleh Dewan Perwakilan,” katanya.

Innes bagaimanapun tidak pasti jika proses pemecatan ini akan menjejaskan kempen pemilihan semula Trump pada November 2020.

"Jika ini terjadi, calon presiden dari parti Demokratik, Joe Biden atau Elizabeth Warren akan menjadi pilihan utama bagi memenangi jawatan presiden, pasaran sudah tentu akan bertindak balas secara negatif memandangkan dasar percukaian mereka yang agak agresif,” katanya.

Innes dan Lau juga melahirkan keyakinan bahawa isu pemecatan itu tidak akan memberikan kesan yang mendalam terhadap hubungan perdagangan AS dengan China.

Menurut Innes, secara amnya, parti Demokrat mempunyai pandangan yang pro kepada dasar perlindungan, jadi pemecatan ini tidak semestinya akan meredakan perang perdagangan.

"Demokrat boleh terkena tempias sendiri kerana ia boleh menjadi senjata bagi Republikan mendapat lebih banyak undi jika orang ramai melihat proses pemecatan itu sebagai satu drama politik semata-mata,” katanya.

Sementara itu, Lau, yang percaya Senat akan terus mengekalkan Trump berkata, 'Fasa Satu' dalam rundingan perdagangan AS-China tidak akan terencat ekoran pemecatan tersebut memandangkan kedua-dua negara memerlukan penyelesaian bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi mereka. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN Dewan Perwakilan AS undi pecat Trump