RAWANG - Banjir kilat sekali lagi melanda kawasan di Rawang membabitkan Jalan Rawang-Batu Arang petang tadi.
Kejadian yang disusuli dengan hujan lebat berterusan itu difahamkan berlaku kira-kira jam 5 petang tadi melibatkan kawasan sejauh 500 meter bermula dari susur keluar tol Rawang hingga persimpangan Aeon Rawang.
Menerusi gambar dikongsi orang awam di Facebook Rawangku, air naik kira-kira 70 sentimeter dan kelihatan beberapa kenderaan meredah banjir kilat tersebut.
Beberapa laman sosial Facebook turut berkongsi keadaan banjir kilat di kawasan itu antaranya Rawang Community Alert dan Rawang Discovery Channel.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan tidak menerima laporan kenderaan terperangkap atau kemalangan susulan kejadian tersebut.
Jalan Rawang- Batu Arang atau dipanggil Jalan B27 kerap dilanda banjir kilat akibat limpahan Sungai Gong dan kali terakhir insiden sama berlaku pada Oktober lalu.