KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan proses pengundian Bazar Aidilfitri KL 2020@Jalan Raja hari ini melibatkan tawaran sebanyak 224 petak daripada 1,349 permohonan.
Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL, Khairul Anuar Mhd Juri berkata, walaupun bulan puasa dijangka berlangsung empat bulan lagi, namun ia dilaksanakan lebih awal bagi memberikan masa yang cukup kepada penjaja membuat persiapan berniaga.
Menurutnya, beberapa tambah baik dilakukan bagi penganjuran kali ini termasuk jumlah petak dikurangkan berbanding 343 tapak bertujuan memberikan lebih keselesaan kepada peniaga dan pengunjung.
"Saiz petak menjadi 100 kaki persegi berbanding 64 kaki persegi sebelum ini selain dipasang pengadang 'shell scheme' di setiap gerai bagi nampak lebih teratur selain mengawal ruang mengelak penjaja meletakkan barang di luar petak yang disediakan.
"Konsep bazar masih mengekalkan berniaga dalam khemah tertutup dengan penghawa dingin selain tempat niaga akan ditinggikan melalui pemasangan palet bagi mengatasi masalah lopak air yang berlaku sebelum ini," katanya yang ditemui pada hari pengundian Bazar Aidilfitri KL 2020@Jalan Raja di Stadium Titiwangsa hari ini.
Katanya, agihan petak dibahagikan kepada dua kategori iaitu 210 petak bagi barangan kering dan 14 petak merangkumi makanan kering dengan kadar bayaran sewa RM2,638 termasuk RM1,000 sebagai cagaran.
Jelasnya, Bazar Aidilfitri KL 2020@Jalan Raja akan bermula 1 Mei hingga 24 Mei iaitu selepas seminggu Ramadan.
"Ia dilewatkan seminggu kerana tempoh itu masih di awal Ramadan, umat Islam belum bersedia untuk persiapan raya.
"Ia bertepatan dengan konsep bazar untuk persediaan Aidilfitri bukannya menjual juadah berbuka puasa," katanya.
Tahun ini, DBKL mengarahkan tapak bazar Ramadan di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) dipindahkan ke Jalan Raja bagi mengatasi masalah berbangkit termasuk kebersihan, tadbir urus dan pihak yang mengambil kesempatan mengaut untung atas angin.
Arahan tersebut bagaimanapun tidak melibatkan pasar malan Jalan TAR yang masih dikekalkan di kawasan sama.