SHAH ALAM - Majlis Belia Malaysia (MBM) meminta semua pihak termasuk syarikat-syarikat pengeluar produk agar lebih sensitif dalam menghasilkan kandungan pembuatan iklan.
Naib Presidennya, Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz berkata, pihaknya bagaimanapun memuji tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengambil tindakan menarik balik papan iklan berunsur lucah tersebut, yang heboh diperkatakan di media arus perdana mahupun media sosial yang dipapar secara terbuka di sekitar kawasan Bangsar dan Bukit Kiara.
"Bagaimanapun, MBM menzahirkan rasa kesal dengan kejadian sebegini yang sepatutnya mendapat pengawalan pihak berwajib terutama pihak berkuasa tempatan (PBT).
"MBM maklum akan kelulusan tidak diberikan pada papan iklan tersebut, namun bagaimana iklan yang tidak diluluskan masih boleh bebas dipaparkan kepada orang awam?" soalnya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada terdapat papan-papan iklan lain yang tidak diluluskan tetapi masih bebas dipapar secara terbuka kepada orang awam berikutan pihaknya mendapati terdapat beberapa lagi papan iklan yang disifatkan bertentangan dengan nilai agama dan adat ketimuran dipaparkan.
"Sebagai contoh, iklan seorang wanita yang hanya memakai celana dalam yang dipapar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
"Selain itu, terdapat juga papan iklan di kawasan Sungai Besi, sebelum memasuki Lebuhraya Plus, menggambarkan seseorang yang sedang makan dalam keadaan tidak beradab," katanya.
Pihaknya menyifatkan perkara tersebut amat serius dan berharap pihak berwajib dapat membuat pengawalan lebih ketat dalam melakukan pemantauan bagi memelihara akhlak anak muda yang bakal mewarisi adat dan budaya di negara ini.
ARTIKEL BERKAITAN: DBKL arah iklan cari 'sugar daddy' ditarik serta-merta