'Serahkan projek tebang semula pokok getah kepada koperasi'

Iklan
Hampir 100 peserta Felcra Teratak Batu berhimpun secara aman membantah tindakan agensi itu tidak menyerahkan projek penebangan pokok getah kepada koperasi mereka di Ladang Felcra Chabang Tongkat.

PASIR PUTEH - Hampir 100 peserta Felcra Teratak Batu berhimpun secara aman membantah tindakan agensi itu melantik kontraktor menerusi tender terbuka bagi melaksanakan projek penebangan semula pokok getah.

Mereka mahu projek penebangan pokok getah itu diserahkan kepada koperasi mereka di Ladang Felcra Chabang Tongkat dekat sini hari ini.

Iklan
Iklan

Bukan itu sahaja, difahamkan perhimpunan aman tersebut bertujuan menghalang pihak kontraktor dilantik oleh Felcra melawat tapak berkeluasan 334 hektar untuk kerja-kerja menebang pokok getah.

Wakil peserta, Saruji Mokhtar berkata, pihaknya mahu kerja-kerja penebangan itu diserahkan kepada mereka melalui koperasi.

Iklan

"Kami menolak kaedah tender terbuka sebaliknya mahu runding terus untuk diserahkan kepada koperasi

"Ini kerana pokok getah tersebut sudah menjadi milik para peserta.

Iklan

"Kami juga sudah berjaya melunaskan semua bayaran modal yang telah dikeluarkan oleh Felcra sebelum ini untuk kerja-kerja penanaman pokok getah tersebut," katanya.

Saruji berkata, sebelum ini para peserta telah bertemu dan melakukan rundingan dengan Felcra namun menemui jalan buntu.

Katanya, agensi itu tetap berkeras mahu kerja-kerja penebangan pokok getah itu dilakukan oleh kontraktor yang dilantik menerusi tender terbuka.

"Bila tender terbuka kami para peserta hanya memperoleh keuntungan kecil sahaja.

"Jika koperasi yang uruskan, kami percaya pulangan lebih banyak dapat dinikmati oleh para peserta serta agihannya lebih adil," katanya.