Iran cadang mata wang kripto untuk negara Islam

Iklan
Presiden Iran, Hassan Rouhani- Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Presiden Iran, Hassan Rouhani mencadangkan negara Islam memperkenalkan mata wang kripto bersama dalam memperkukuhkan hubungan kewangan dalam dunia Islam.

Beliau berkata, cadangan yang sama juga dibuat oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dalam mesyuarat antarabangsa untuk memperkenalkan dinar Islam bagi menggantikan dolar Amerika dalam urusan perdagangan antarabangsa.

Iklan
Iklan

"Mungkin hari ini dengan teknologi yang sedia ada, kita dapat memiliki mata wang (digital) untuk negara-negara Islam serta memperoleh manfaat dan keuntungan hasil penggunaan mata wang kripto bagi mengurangkan birokrasi turun naik pasaran dunia yang teruk,” katanya dalam bahasa Parsi yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.

Presiden Iran itu berkata demikian pada sesi perbincangan meja bulat bertema 'Keutamaan Pembangunan dan Cabaran’ sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019, di sini hari ini.

Iklan

Menurutnya, negara-negara Islam juga perlu meningkatkan kerjasama dalam sektor kewangan, perbankan dan insurans bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pihak asing.

Rouhani juga mencadangkan negara-negara Islam bekerjasama alam industri halal supaya mereka dapat menguasai pasaran halal dunia secara bersama.

Iklan

"Dalam dunia perindustrian moden hari ini, makanan halal mendapat tempat istimewa dan orang bukan Islam juga kini berminat dengan produk dan jenama halal.

"Oleh itu, jika negara Islam bekerjasama, kita boleh menguasai pasaran dunia dan memulakan kempen besar-besaran berkaitan perkhidmatan dan barangan halal,” katanya.

Terdahulu, semasa berucap pada persidangan itu, Presiden Iran itu mencadangkan penubuhan dana bersama Sidang Kemuncak Kuala Lumpur bagi membiayai program kerjasama teknologi dalam kalangan negara-negara Islam supaya lebih kukuh dalam menembusi pasaran global.

Beliau turut menyarankan penubuhan penyelidikan bersama dalam teknologi Kecerdasan Buatan (AI).

Menyeru dunia Islam meneruskan kerjasama dan interaksi, Rouhani berkata, ia akan memperkukuhkan keupayaan politik dan ekonomi mereka, sekali gus membantu memacu dunia Islam menjadi sebuah blok yang kuat di persada antarabangsa. - Bernama