Bayi tujuh bulan jadi datuk bandar termuda di AS

Iklan
Datuk Bandar Charlie yang baru berusia 7 bulan dilantik sebagai Datuk Bandar Kehormat Whitehall.

TEXAS - Percaya atau tidak, seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan 'dilantik' menjadi Datuk Bandar Kehormat Whitehall di Texas, Amerika Syarikat (AS) sekali gus menjadikannya datuk bandar termuda di negara itu.

Tampil segak dengan tuksedo hitam, William Charles 'Charlie' McMillian mencairkan hati hampir 150 hadirin yang meraikan pelantikannya di Pusat Komuniti Whitehall pada Ahad lalu.

Iklan
Iklan

Popular dengan panggilan 'Mayor Charlie', bayi comel itu 'mengangkat sumpah' selepas 'dilantik' pada Oktober lalu untuk berkhidmat kepada komuniti tempatan di Grimes County.

Dengan moto 'Make America Kind Again', Mayor Charlie 'berdiri' di podium ditemani kedua ibu bapa angkatnya, Chad dan Nancy McMillian di hadapan warga tempatan yang memberikan tepukan gemuruh kepada datuk bandar termuda itu.

Iklan

"Semua orang mahu memeluknya dan perasaan kasih sayang begitu ketara sekali. Kita sedang berada dalam waktu sukar dan Datuk Bandar Charlie membantu mengembalikan keamanan dan kebaikan di dalam komuniti. Itu merupakan matlamat sebenar," kata Josh Fultz, seorang ahli majlis bandar Navasota yang hadir ke upacara berkenaan.

Jika anda tertanya-tanya bagaimana seorang bayi comel boleh dilantik menjadi datuk bandar, jawapannya pada setiap tahun jawatan datuk bandar dilelong pada acara pengumpulan dana Jabatan Bomba Sukarela Whitehall.

Iklan

Pada tahun ini, Charlie merupakan pembida tertinggi sekali gus membolehkannya 'dilantik' sebagai datuk bandar untuk tempoh satu tahun.

Difahamkan, Datuk Bandar Charlie turut 'membacakan' ikrar sebagai datuk bandar dalam upacara tersebut.

"Saya, William Charles McMillan berjanji akan melaksanakan sebaik mungkin tanggungjawab sebagai Datuk Bandar Whitehall.

"Berbuat baik kepada semua di taman permainan, mempromosi kehidupan, melindungi dan mempertahankan komuniti Whitehall dan menghantar biskut kepada sukarelawan Jabatan Bomba, jadi bantulah saya, ibu dan ayah," lapor saluran televisyen tempatan, KBTX. - Agensi