Dividen ASB paling rendah: PNB perlu agresif melabur di ekuiti antarabangsa

Iklan
Ahmed Razman

SHAH ALAM - Jumlah agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 5 sen seunit dan bonus 0.5 sen bagi tahun ini dijangka tidak akan berulang tahun depan sekiranya Permodalan Nasional Bhd (PNB) lebih agresif melabur di ekuiti antarabangsa.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pelaburan antarabangsa memberi pulangan lumayan berbanding dalam negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, agihan pendapatan tahun ini diakui paling rendah dalam sejarah apabila dipengaruhi kemerosotan indeks petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI).

"Pelaburan PNB dengan FBM KLCI adalah 7.5 peratus dalam bentuk ekuiti yang majoritinya domestik.

Iklan

"Bila indeks pelaburan FBM KLCI jatuh lebih kurang 7.2 peratus, ia memberi kesan terhadap agihan pendapatan ASB namun sebenarnya PNB telah memberi pulangan pelaburan sebanyak 12.7 peratus.

"Maka sebab itu PNB masih mampu memberi pulangan yang positif tahun ini kerana disebabkan agihan keuntungan berjumlah RM9 bilion itu adalah datangnya daripada untung pelaburan yang telah direalisasikan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Iklan

Ahmed Razman berkata, pelaburan yang direalisasikan bermaksud hasil daripada jualan ekuiti dan perolehan dividen, bukan untung ‘atas kertas’.

Menurutnya, masyarakat terutama pelabur seharusnya sedia maklum bahawa ASB merupakan pelaburan jangka panjang.

"Kalau kita lihat purata pulangan pelaburan ASB sejak 1990 sehingga sekarang, ia lebih kurang 9.7 peratus.

"Maka bagi pelaburan jangka masa panjang, ASB masih lagi memberi pulangan tertinggi berbanding dana pelaburan lain,” katanya.

Pengerusi PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz kelmarin mengumumkan agihan pendapatan 5.00 sen seunit dan bonus 0.50 sen untuk dana utamanya ASB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember ini.