Money Boy: Pantau aktiviti anak, cegah sebelum parah

Iklan
Ilmu keibubapaan perlu dipraktikkan dalam kalangan ibu bapa supaya anak mereka tidak akan terabai sehingga terlibat aktiviti tidak bermoral.

SHAH ALAM - Pemantauan yang khusus daripada ibu bapa merupakan faktor penting untuk menangani masalah aktiviti tidak bermoral seperti Money Boy dalam kalangan generasi muda.

Menurut pakar kaunseling dan motivasi, Hushim Salleh, ibu bapa perlu mengawasi setiap tingkah laku anak supaya mereka tidak terjurus ke arah negatif.

Iklan
Iklan

"Ibu bapa kena rapat dengan anak supaya mereka tahu apa yang mereka lakukan agar aktiviti tidak bermoral ini dapat dicegah lebih awal," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Dalam pada itu, Hushim berkata, ibu bapa perlu mempunyai ilmu yang sewajarnya untuk mendidik generasi muda yang mudah terdedah dengan gejala sosial pada masa kini.

Iklan

"Ilmu keibubapaan perlu dipraktikkan dalam kalangan ibu bapa supaya anak mereka tidak akan terabai sehingga terlibat aktiviti tidak bermoral.

"Ibu bapa hendaklah sentiasa berkomunikasi dan meluangkan masa dengan anak-anak untuk mengetahui segala permasalahan yang mereka hadapi," jelasnya.

Iklan

Semalam, Sinar Harian melaporkan kempen kesedaran berhubung kegiatan gejala sosial Money Boy atau lelaki simpanan perlu diperluaskan agar masyarakat secara umumnya lebih mengetahui kewujudan mereka yang menawarkan perkhidmatan hubungan intim dengan bayaran lumayan.

Sementara itu, pakar psikologi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Saad berkata, pengawasan daripada ibu bapa sangat penting dalam mendidik anak daripada terjebak gejala sosial Money Boy.

"Ibu bapa perlu awasi anak-anak terutama dalam penggunaan media sosial yang boleh mempengaruhi pemikiran mereka untuk terbabit dalam aktiviti tidak bermoral.

"Ibu bapa hendaklah memantau persekitaran anak-anak seperti mengambil tahu dengan siapa mereka berkawan," katanya.

Tambahnya, ibu bapa mestilah menitikberatkan didikan agama kepada anak mereka supaya mereka cukup matang untuk menilai sesuatu perkara sama ada baik atau buruk.

"Kesedaran agama amat penting kepada generasi muda pada masa kini supaya mereka berasa takut melakukan dosa meskipun desakan untuk hidup mewah itu lebih tinggi," ujarnya.