Lima sekeluarga maut rempuh lori

Iklan
Kesemua mangsa yang maut dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat.

HULU SELANGOR - Lima sekeluarga maut selepas kereta dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori tiga tan dalam kejadian di Kilometer 427.5 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke selatan pagi tadi.

Mangsa yang maut adalah pemandu kereta, Mohamad Rodzi Abdul Kadir,52; penumpang di sebelah pemandu, Jamilah Jalim @Jamil, 47, dan penumpang di bahagian belakang,Bashirah Jalim@Jamil, 49; Nur Intan Mohamad Rodzi, 18, dan Nur Shifa Abdul Rashid, 17.

Iklan
Iklan
Lima sekeluarga maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer 427.5 Lebuhraya Utara Selatan pagi tadi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Deputi Superintendan Sahimi Husin berkata, kemalangan berlaku apabila lori dalam perjalanan dari Selama, Perak ke Selayang dilanggar dari belakang oleh Perodua Myvi di lorong kiri lebuh raya.

"Akibat kemalangan itu kesemua penumpang kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori berusia 35 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Iklan

"Lori berkenaan mengalami kerosakan di bahagian belakang manakala Perodua Myvi mengalami kerosakan di bahagian hadapan.

"Mangsa yang maut dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya

Iklan
Anggota bomba terpaksa melakukan kerja-kerja pemotongan kenderaan bagi mengeluarkan dua mangsa yang tersepit di di bahagian tempat duduk hadapan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa dikerahkan ke lokasi selepas panggilan kecemasan diterima.

Menurutnya, dua mangsa tersepit di bahagian depan kereta berjaya dikeluarkan dengan kerja-kerja pemotongan kenderaan dilakukan oleh anggota bomba.

"Penumpang di bahagian belakang tidak tersepit namun disahkan meninggal dunia di lokasi diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.