SHAH ALAM - Sukarelawan Briged Amal Kebajikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (SBAKPPBM) bersedia menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di seluruh negara tanpa mengira latar belakang politik.
Pengerusi, Abu Bakar Yahya berkata, bantuan yang dihulurkan pihaknya adalah atas prinsip masyarakat prihatin dan mendapat keperluan sewajarnya.
"Kita akan pergi ke mana sahaja tempat berlakunya musibah seperti banjir tidak kira di Kelantan mahupun Johor. Semalam saya bersama 16 kenderaan pacuan empat roda turun ke Johor untuk misi amal.
"Bila berlakunya banjir semua orang akan berada dalam kesusahan dan kita akan hulurkan bantuan. Jika rakyat susah kami dari Biro SBAKPPBM akan datang segera ke kawasan terbabit," katanya.
Abu Bakar berkata demikian bagi mengulas misi SBAKPPBM menghantar barang keperluan ke beberapa kawasan di Johor seperti Simpang Renggam, Sekijang dan Kota Tinggi semalam.
Dalam misi berkenaan, beliau menjelaskan, pihaknya menghulurkan bantuan seperti beras, makanan dalam tin, biskut, barang-barang kebersihan seperti ubat gigi, sabun, syampu dan plampin pakai buang kepada mangsa.
"Kami tidak memberikan bantuan berbentuk kewangan, sebaliknya peranan Biro SBAKPPBM adalah memberi barang keperluan sahaja," katanya.Katanya, pihaknya sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi gelombang kedua banjir yang boleh berlaku bila-bila masa terutama di Kelantan.