KUALA LUMPUR - Buku pertama Ensiklopedia Budaya dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Ebaik) bakal diterbitkan menerusi kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Karya asli yang menghimpunkan tulisan atau dokumentasi budaya dan adat istiadat negeri Kelantan itu memuatkan aspek sejarah, kebudayaan, adat, adab, kesenian, sastera dan bahasa.
Majlis Perasmian Penandatanganan Memorandum Perjanjian Kerjasama Penerbitan Ebaik antara DPB dan Maik itu disempurnakan oleh Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz di sini semalam.
Tengku Mohamad Rizam yang juga Yang Dipertua Maik dalam ucapan perasmian gembira dengan inisiatif kerjasama penerbitan tersebut yang sesuai dengan matlamat serta ekspektasi masyarakat berkaitan adat istiadat dan adab Melayu.
Beliau berkata, penerbitan ensiklopedia tersebut bertujuan menjadikannya sumber rujukan utama mengenai Kelantania khusus dari segi budaya dan adat istiadat Melayu di sebuah wilayah peradaban Melayu Timur Laut.
"Ensiklopedia ini akan mencontohi beberapa ensiklopedia yang besar dan tersohor seperti Ensiklopedia Sejarah don Kebudayaan Melayu (ESKM) terbitan DBP, jika tidak pun menyamai The World Book Encyclopedia.
"Penerbitan ensiklopedia tentang Kelantan akan memberi citra kepada makna tradisi pemerintahan, kehidupan kebudayaan dan sosial yang akan mendorong wacana ilmu dalam upaya menjadikan Kelantan sebuah negeri rujukan tentang peradaban Melayu,” katanya.
Jelas beliau, ensiklopedia hasil kajian dan amalan sejak berabad itu mampu memberi pendedahan baru kepada pembaca untuk memahami sistem kebudayaan Melayu khusus terhadap negeri Kelantan.
"Saya difahamkan pemilihan entri dibuat berdasarkan maklumat mengenai Kelantan dalam konteks periodisasi perkembangan peradaban Melayu Kelantan dan budayanya dari zaman prasejarah, warisan budaya dan seni membawa kepada kewujudan jenis adat istiadat yang menjadi amalan sehingga kini.
"Meskipun entri dalam ensiklopedia itu ialah tentang sejarah dan budaya umumnya tetapi tumpuan juga diberikan kepada subjek yang meliputi istiadat Melayu Kelantan iaitu adat dan adab Melayu Kelantan dengan bandingan di mana perlu, mengenai adat dan adab amalan masyarakat besar Melayu di Malaysia dan serantau atau dunia Melayu,” katanya.
Justeru, Tengku Mohamad Rizam berharap penerbitan tersebut dapat menjadi rujukan buat generasi masa kini dan kekal turun-temurun.
"Ebaik seterusnya boleh menjadi kebanggaan menaikkan imej dan prestij Kelantan sebagai salah sebuah negeri asal terawal bangsa Melayu dalam sejarah peradaban Melayu,” katanya.
Pada majlis itu, beliau bersama Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom menyaksikan tandatangan kerjasama penerbitan Ebaik.
DBP diwakili oleh Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran dan Timbalan Ketua Pengarah Dasar (TKPD) DBP, Datuk Padilah Ali manakala pihak Maik diwakili oleh Timbalan Yang Dipertua Maik, Zukifli Abdul Rahman dan Setiausaha Maik, Rusydee Abdullah.
Pada majlis sama turut dilancarkan tiga buah buku terbitan DBP dan Maik iaitu buku Syair Adat Istiadat Istana Kelantan, Bahasa Istana D’Raja Kelantan: Mercu Kegemilangan Budaya dan Indeks Bibliografi Kelantan.
Sementara itu, Mohamed Hatta berkata, Ebaik ialah pelopor kepada penerbitan ensiklopedia berkaitan peradaban dan kebudayaan sesebuah negeri di Malaysia khusus Kelantan.
Ujarnya, usaha penerbitan Ebaik amat penting untuk mengangkat khazanah negeri Kelantan secara menyeluruh dan merangkumi pelbagai aspek akar kehidupan dan jati diri yang meliputi aspek sejarah, pemerintahan, tokoh, kebudayaan, adat, adab, kesenian, sastera dan bahasa.
"Usaha itu bertujuan menimbulkan kesedaran dan semangat kecintaan kepada anak negeri supaya mengetahui dan menghayati semua aspek penting negeri asal mereka yang merangkumi bidang agama, budaya, ekonomi, politik dan sosial negeri asal mereka,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan Syarahan Perdana Tok Kenali bertemakan Pembinaan Peradaban Baharu disampaikan oleh tokoh akademik terkenal negara, Profesor Emeritus, Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali.