Mengenang pesan Ghazali Shafie
"KAMU tahu mengapa kita dilahirkan?” Itulah pertanyaan diajukan oleh Allahyarham Tun Ghazali Shafie, ketika itu Menteri Dalam Negeri dan bergelar Tan Sri kepada sekumpulan wartawan yang dibawa khusus untuk melihat pembangunan kawasan Parlimennya pada 1974 dalam satu sesi ngeteh di Rumah Rehat di Kuala Lipis, Pahang. Saya antara pemberita dalam kumpulan tersebut.
Kepada pertanyaan itu, salah seorang menjawab dengan mengatakan:"Kita dilahirkan untuk menjadi khalifah bagi memakmurkan muka bumi ALLAH SWT.” Seorang lain memberi jawapan agak kelakar:"Kita dilahirkan sebagai bukti kasih sayang ibu dan bapa kita setelah mereka...” Bagaimanapun, itu bukanlah jawapan yang ingin didengar oleh Ghazali atau lebih terkenal dengan panggilan King Ghaz. Bagi beliau ‘manusia dilahirkan untuk mati. Jika kelahiran adalah permulaan, mati adalah kesudahan kehidupan. Kita semua akan mati tapi tak tahu bila’.