GUA MUSANG - Seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai maut selepas kereta dipandunya terbabas dan bertembung dengan sebuah bas di Kilometer 33, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, malam tadi.
Dalam kemalangan jam 12.38 tengah malam itu, mangsa, Wahi Anuwar Ibrahim, 51, anggota Cawangan Persenjataan IPD Kuala Krai maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, ketika kejadian mangsa memandu kenderaan jenis Honda CRV dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai.
Menurutnya, tiba di tempat kejadian, mangsa cuba mengelak ke arah kanan kerana terdapat sebuah lori muatan sawit diletakkan di bahu jalan akibat rosak.
"Bagaimanapun, mangsa hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan bas jenis Scania yang datang dari arah bertentangan.
"Akibat pelanggaran, kenderaan mangsa berpusing dan terbabas ke dalam parit di tepi jalan. Mangsa tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Mohd Taufik berkata, mayat dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat manakala pemandu dan penumpang bas tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.