IPOH - Wanita berusia 52 tahun mencuri tumpuan apabila menjadi peserta paling ‘otai’ dalam Kejohanan Payung Terjun Antarabangsa Perak 2019 di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz Shah di sini.
Dede Rahayu Suprihatin yang berkhidmat sebagai polis mewakili negaranya, Indonesia menyertai kejohanan itu yang julung kali diadakan di Perak.
Menurutnya, dia telah melakukan lebih 1,000 kali penerjunan sejak 24 tahun lalu, pembabitannya dalam sukan payung terjun itu dapat memberi inspirasi kepada wanita lain untuk menceburi sukan ekstrem itu.
"Sukan ini adalah impian saya dari kecil untuk melihat dunia dari ruang udara. Walaupun ibu bapa membantah pada awalnya, saya lakukan secara senyap-senyap dan ternyata pilihan saya ini tidak silap.
"Sukan ini perlu dilihat dari sudut berbeza dan tidak terhad pada golongan lelaki sahaja. Wanita juga boleh setanding untuk beraksi termasuk mewakili negara," katanya yang telah menyertai kejohanan antarabangsa di Amerika Syarikat, Dubai dan China.
Dede Rahayu berkata, pengalaman payung terjunnya nyaris tidak kembang ketika melakukan penerjunan di ketinggian 3,000 kaki beberapa tahun lalu tidak mematahkan semangatnya untuk terus mencintai sukan ekstrem tersebut.
"Apabila kita buka payung, talinya membelit dan ia tidak boleh kembang sepenuhnya. Pada masa itu, saya berserah kepada Yang Maha Kuasa.
"Dengan izin-Nya, di saat genting itu payung tiba-tiba kembang dan saya dapat melakukan pendaratan dengan selamat. Kejadian itu membuatkan saya yakin bahawa tuhan tetap bersama dengan kita," katanya.
Sementara itu, Komander 69 Komando PDRM, Senior Asisten Komisioner Abdul Razak Mohd Yusoff berkata, program peringkat antarabangsa itu membabitkan 98 peserta termasuk 47 peserta dari Indonesia, Australia serta Korea Selatan dan sembilan daripadanya adalah penerjun wanita.
"Pasukan tempatan terdiri daripada Perak Skydiving, PDRM, Bomba, Paskal, Paskau, Kenyalang Skydive dan peserta individu.
"Kejohanan ini mempertandingkan tiga kategori iaitu Ketepatan Payung Tentera, Kerjasama Payung di Udara dan Formasi Terjunan Bebas," katanya.
Abdul Razak berkata, kejohanan yang tamat pada Ahad ini diharap dapat dijadikan acara tahunan bagi mempromosi industri pelancongan Perak serta sukan payung terjun.
"Selain itu, ia dapat menarik minat orang awam kerana selama ini sukan payung terjun dikatakan mahal serta eksklusif untuk pasukan keselamatan atau agensi kerajaan semata-mata.
"Turut dimeriahkan dengan pelbagai acara lain seperti pameran oleh 69 Komando dan agensi-agensi awam lain, persembahan pentas, pertandingan karaoke, pertandingan e-Sports PUBG dan gerai jualan," katanya.