Ayuh! Selamatkanlah tanah orang Melayu
APAKAH terjadi kepada tanah yang dimiliki oleh orang Melayu, tak kira di bandar atau di desa pada 2050, iaitu dalam masa 27 tahun, atau kurang daripada enam pilihan raya umum?
Ini gambarannya mengikut unjuran di atas peta oleh badan pemikir tempatan Center for Governance and Political Studies (Cent-GPS) dalam satu pautan Twitter https://twitter.com/CentGPS/status/1191913810304487424, berdasarkan satu kajian sedunia diterbitkan di Nature Communications https://www.nature.com/articles/s41467-019-12808-z.pdf pada tahun 2019 oleh Dr Scott A Kulp dan Dr Benjamin H Strauss:
Pantai dari Simpang Empat, Perlis sampai ke Kota Kuala Muda, Kedah akan ditengelami laut, Alor Setar menjadi sebuah pulau manakala Jitra, Pokok Sena, Pendang dan Sungai Petani menjadi bandar pantai yang baharu; Seberang Jaya Utara dan Seberang Jaya Selatan akan menjadi teluk manakala Butterworth, Perai dan Bukit Mertajam akan menjadi sebuah semenanjung kecil; Hampir 2,000 kilometer persegi di barat laut Perak dari Parit Buntar ke selatan Kuala Sepetang akan menjadi sebahagian daripada Selat Melaka; Pantai dari Kuala Selangor sampai ke Bagan Lalang akan menjadi laut, menghanyuti Klang dan pejabat Sinar Harian akan berdekatan pantai; Melaka, Muar dan Kuala Terengganu akan turut menjadi mangsa.
Ini bukan hukuman ALLAH kerana perbuatan maksiat manusia, tetapi akibat kita gagal menunaikan tanggungjawab kita sebagai khalifah di bumi dan memastikan kelestariannya.