Harap kemiskinan tidak dikait masyarakat luar bandar selepas 2030

Iklan
Rina (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan Back to School 2020@KPLB Yayasan Pelajaran Mara (YPM) kepada pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Gau San, Putera Muhammad Afiq Fauzul Azmi, 12, (tengah) di MRSM Tun Dr Ismail, di sini hari ini. - Foto Bernama

PONTIAN - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan menumpukan pada pembangunan sosio-ekonomi dan modal insan masyarakat luar bandar dengan harapan soal ‘kemiskinan’ tidak lagi dikaitkan dengan golongan itu selepas tahun 2030.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pembangunan dalam tempoh 10 tahun mulai tahun depan itu akan dilaksanakan secara menyeluruh agar tiada yang ketinggalan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, dalam masa yang sama, pihak KPLB juga akan melaksanakan beberapa program pembangunan modal insan di kawasan luar bandar, sekaligus dilihat mampu menjadikan penduduk di kawasan luar bandar setanding dengan mereka di bandar.

"Jadi apabila inisiatif ini berjaya dilaksanakan kelak, kita harapkan ‘kemiskinan’ tidak lagi akan dikaitkan dengan masyarakat kawasan luar bandar, malah luar bandar juga akan menjadi tumpuan.

Iklan

"Kita juga akan pastikan pembangunan infrastruktur dan juga fizikal di kawasan berkenaan bergerak seiring dengan pembangunan sosio-ekonomi serta pembangunan modal insan yang dirancang,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Rina merasmikan Program Back to School 2020@KPLB - Yayasan Pelajaran Mara (YPM) di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Dr Ismail, di sini.

Iklan

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha KPLB Datuk Norison Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif YPM Datuk Rubiyah Abd Rahman.

Program bantuan persekolahan untuk pelajar golongan B40 itu membabitkan sebanyak 43,520 pelajar di seluruh negara dengan kos keseluruhan RM3.2 juta.

Berhubung program itu, Rina berkata setiap pelajar menerima bantuan beg sekolah dan peralatan persekolahan bernilai RM70 untuk pelajar sekolah menengah dan RM50 untuk pelajar sekolah rendah.

"Bagi negeri Johor ini, sebanyak 5,000 pelajar menerima manfaat berkenaan yang turut merangkumi seramai 180 pelajar di Pontian.

"Kita mengharapkan dengan bantuan seperti ini akan dapat meringankan beban serta pelajar berkenaan dapat mengikuti sesi persekolahan dengan sempurna dan selesa, juga dapat memberikan galakan untuk berusaha dengan lebih gigih,” katanya.

Pembasmian kemiskinan rakyat antara teras kerangka Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dilancarkan kerajaan pada 5 Oktober lepas.- Bernama