LONDON - Dua lelaki mati ditikam dalam kejadian berasingan di utara London dalam masa kurang daripada sejam Khamis lalu.
Pihak polis memaklumkan dalam kejadian pertama mereka menerima panggilan pada jam 7.16 petang sebelum bergegas ke Bromley, Walthamstow dan menemui dua lelaki yang mengalami kecederaan dalam insiden tikam menikam.
Iklan
Iklan
Seorang lelaki berusia 20-an dikatakan mati di tempat kejadian dan polis sedang dalam proses memaklumkan kepada keluarganya manakala lelaki kedua juga berusia 20-an dibawa ke hospital di mana kecederaannya dianggap tidak mengancam nyawa.
Pihak polis telah menangkap seorang lelaki berhubung kejadian itu.
Sejam kemudian, polis dipanggil untuk kejadian di jalan pintas Barnet A1 berhampiran Scratchwood Park di mana seorang lelaki berusia 20-an ditemui dengan kesan luka tikaman dan dibawa ke hospital.
Ketika melakukan rondaan polis menemui seorang lelaki lain, yang dipercayai berusia 30-an dengan banyak kesan tikaman, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan daripada paramedik.
Polis meminta sesiapa yang mempunyai maklumat tentang insiden itu tampil untuk memberikan maklumat. - Agensi.