KUALA SELANGOR - Sisa bahan kimia yang tumpah akibat dibuang pihak tidak bertanggungjawab di tapak pembuangan sampah haram di Jalan Kapar Batu 16, Kampung Tambak Jawa, Kuala Selangor, 20 November lalu dibersihkan sepenuhnya hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, operasi itu bermula pada jam 10 pagi ditamatkan pada jam 12.40 tengah hari tadi.
Menurutnya, terdapat 244 tong berkapasiti 200 hingga 210 liter di dua lokasi sekitar kawasan itu dan didapati 14 tong yang tumpah dibersihkan.
"Kerja pembersihan dilakukan Kualiti Alam Sdn Bhd di bawah pemantauan JBPM, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN).
"Hari ini, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) hadir bagi tujuan pemantauan terakhir bagi memastikan lokasi pencemaran selamat dan terkawal," katanya.
Beliau memberitahu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor dan pasukan Hazmat dari BBP Shah Alam menggunakan alat khas bagi mengesan kehadiran gas berbahaya di lokasi kejadian.
"Hasil pemeriksaan mendapati kawasan berkenaan selamat dan keadaan udara normal.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan sebanyak 244 tong berisi bahan kimia tidak sempat dilupuskan oleh JAS berikutan ia meletup dan terbakar pada 25 November lalu.
Dalam kejadian 3.29 pagi itu, 15 anggota bomba dari BBP Kuala Selangor dan Kapar dikejarkan ke lokasi kejadian.
Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 5.58 pagi dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.