KATS terima pesawat khas pantau sumber asli negara

Iklan
Rekabentuk modular pesawat yang diterapkan dalam sistem cerapan udara hiperspektral membolehkan ia disesuaikan dengan pelbagai muatan sensor. -Foto ihsan KATS

SHAH ALAM - Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) melalui Jabatan Hutan Sarawak (JHS) mendapat sebuah pesawat pelbagai guna bagi kemudahan projek pembangunan sistem cerapan udara hiperspektral secara turnkey untuk penguatkuasaan dan pemantauan sumber asli negara.

KATS dalam satu kenyataan semalam memberitahu, pesawat daripada Austria itu diterima JHS pada 15 Disember 2019 dan ia merupakan sebahagian daripada sistem cerapan udara hiperspektral iaitu satu sistem udara yang direka khas (customized airborne system) bagi tujuan pemantauan dan pemetaan sumber asli.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, sistem itu akan memainkan peranan penting dalam usaha meningkatkan keberkesanan aktiviti penguatkuasaan sumber asli negara termasuk hutan.

"Ciri-ciri sistem udara atau pesawat yang direka khas ini adalah sistem udara modular yang boleh diubahsuai mengikut misi; julat operasi yang jauh (2,000km) yang membolehkan pesawat beroperasi selama tujuh jam tanpa henti dan kos operasi yang rendah dari aspek penggunaan bahan api serta penyelenggaraan.

Iklan

"Selain itu, rekabentuk modular yang diterapkan dalam sistem ini membolehkan ia disesuaikan dengan pelbagai muatan sensor (multiple sensorpayload configuration) selain mempunyai fleksibiliti untuk digabungkan dengan komponen sistem penyampaian maklumat (telemetry and tactical information delivery system) dalam pelbagai persekitaran operasi," katanya.

Menurut kenyataan media itu lagi, kos sistem udara ini adalah sebanyak RM27.46 juta meliputi perolehan sistem udara atau pesawat, peralatan misi, peralatan ganti, penyelenggaraan dan latihan kepada juruterbang.

Iklan

Katanya, sistem itu akan ditempatkan di Sarawak di bawah kendalian JHS melalui Unit Pembangunan dan Aplikasi Sistem (Sadu).

"Sadu mempunyai kepakaran dan kakitangan yang berpengalaman untuk mengendalikan serta membangun aplikasi berasaskan teknologi cerapan hiperspektral di mana unit ini melaksanakan projek inventori flora menggunakan aplikasi hiperspektral sebelum ini.

"Sebelum sistem udara ini dapat beroperasi sepenuhnya, ia akan menjalani pelbagai proses termasuk pendaftaran pesawat bagi memenuhi keperluan Civil Aviation Authority Malaysia (CAAM) serta menjalani pengujian akhir bagi menentusahkan peralatan serta platform udara memenuhi spesifikasi teknikal dan berada dalam keadaan baik sebelum diserahkan sepenuhnya oleh syarikat pengeluar kepada kerajaan Malaysia untuk dioperasikan," katanya.

Kenyataan itu menyebut, sistem terbabit dijangka akan mula beroperasi pada pertengahan tahun 2020 dan dijangka dapat menangani terutama kegiatan pencerobohan hutan dan pembalakan haram.