Takut sampai 'terbuang air besar'

Iklan
Sebahagian pekerja warga asing ditahan untuk pemeriksaan. - Foto Ihsan Imigresen Terengganu

DUNGUN - Seorang lelaki warga Kemboja melarikan diri sehingga terbuang air besar akibat ketakutan ketika tempat kerjanya diserbu pihak berkuasa dalam Ops Selera di sebuah kedai makan di Kampung Alur Tempoyak, di sini petang kelmarin.

Keadaan itu disedari anggota penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia Terengganu ekoran bau busuk ketika penahanan dilakukan termasuk melibatkan empat lagi rakan senegara dan seorang wanita warga Indonesia yang bekerja bersama suspek, sebelum suspek berumur 26 tahun diminta membersihkan diri.

Iklan
Iklan

Pengarahnya, Rahim Hanafi berkata, serbuan jam 1.30 petang itu dilakukan sepasukan 17 anggota dan pegawai imigresen diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Terengganu, Ahmad Salihin Salleh menyasarkan kedai makan berkenaan selepas menerima aduan awam.

"Dalam serbuan berkenaan, kita melakukan pemeriksaan ke atas 16 warganegara dan sembilan warga asing yang berada di sekitar lokasi.

Iklan

"Hasil pemeriksaan selanjutnya, kita berjaya mengesan enam daripada warga asing ini iaitu empat lelaki dan seorang wanita warga Kemboja berusia antara 15 hingga 28 tahun serta seorang wanita warga Indonesia berusia 40 tahun.

"Kesemua ditahan mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen, Ajil, Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut. Pemeriksaan tamat jam 1.45 petang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Iklan

Sementara itu Rahim berkata, dalam operasi kedua di sebuah rumah di Kampung Cacar, Paka, di sini, seorang wanita warga Indonesia hampir 'lemas' apabila nekad bersembunyi di dalam almari baju lama yang tertutup rapat bagi mengelak dicekup.

Dalam serbuan kira-kira jam 2.40 petang, wanita berusia 48 tahun itu bagaimanapun berjaya 'diselamatkan' penguat kuasa bertugas sebelum ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

"Selain itu, empat lagi lelaki warga Indonesia berusia antara 19 hingga 50 tahun turut ditahan selepas dikesan melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen.

Sebahagian pekerja warga asing ditahan untuk pemeriksaan. - Foto Ihsan Imigresen Terengganu

"Pemeriksaan di lokasi tamat jam 3 petang dan kesemua ditahan turut dihantar ke Depot Tahanan Imigresen, Ajil, Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut," katanya.

Jelasnya, dalam Ops Belanja/Kutip/Sapu/Selera itu, pihaknya menyerbu sebanyak 14 lokasi di sekitar Dungun termasuk pasar raya dan tapak projek pembinaan serta dua lokasi tapak projek pembinaan di Kerteh, Kemaman.

"Dalam serbuan itu, seramai 247 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu, seramai 37 pendatang asing tanpa izin (PATI) terdiri 34 lelaki dan tiga wanita ditahan.

"Daripada jumlah ditahan itu, 16 lelaki dan dua wanita warga Indonesia, enam lelaki warga Bangladesh, dua lelaki warga India, empat lelaki dan seorang wanita warga Kemboja, lima lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki warga Nepal dikesan melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen.

"Antara yang ditahan dikesan melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalah guna pas lawatan sosial, Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih tempoh dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tiada dokumen sah.

"Pihak kami juga mengeluarkan borang 29 (saman saksi) kepada lima majikan untuk mereka hadir ke pejabat Imigresen bagi membantu siasatan," katanya.