BESUT - Orang ramai yang mempunyai saman trafik tertunggak ditawarkan diskaun sebanyak 50 peratus sempena Hari Bersama Pelanggan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut pada 25 dan 26 Disember ini.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, kaunter tawaran akan dibuka di Kota Putera Square, Kampung Raja, di sini selama dua hari itu bermula jam 9 pagi sehingga 5 petang.
Iklan
Iklan
"Orang ramai digalakkan menggunakan peluang yang ada bagi menjelaskan saman tertunggak.
"Bagaimanapun, tawaran diskaun itu tidak melibatkan saman kemalangan, saman kesalahan 'Ops Selamat' tahun semasa, saman berstatus waran tangkap atau senarai hitam tahun semasa, saman berstatus bukan kompaun, saman status budi bicara dan saman lori," katanya ketika dihubungi.
Abdul Rozak meminta orang ramai supaya tidak melepaskan peluang mendapatkan pengurangan saman daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada hari berkenaan.
"Sebelum hadir ke kaunter, pengunjung dinasihatkan untuk menyemak dan mencetak terlebih dahulu saman yang hendak dibayar di balai polis trafik berhampiran bagi memudahkan urusan," katanya.
Artikel Berkaitan