KUALA LUMPUR - Portal JobsMalaysia berjaya menempatkan 146,203 orang dalam pelbagai sektor pekerjaan bagi tempoh Januari hingga November tahun ini.
Menurut Jabatan Tenaga Kerja Malaysia (JTKSM), penempatan bagi jawatan tinggi mencatatkan 43,271 pekerjaan (30 peratus), sederhana 53,008 (36 peratus) dan rendah 49,924 (34 peratus).
"Penempatan mengikut Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia 2008 bagi kategori pekerjaan tahap jawatan tinggi adalah pengurusan, profesional, juruteknik dan profesional bersekutu,” menurut Jabatan itu kepada Bernama hari ini.
Jabatan itu menyebut, antara kategori pekerjaan bagi tahap sederhana pula ialah perkeranian, perkhidmatan dan jualan, manakala jawatan rendah termasuk operator dan pekerja asas.
Sehingga 31 November lepas, sebanyak 922,336 kekosongan jawatan telah diiklankan di portal itu oleh 23,996 majikan aktif.
Berdasarkan statistik, portal berkenaan berjaya menempatkan 223,967 orang dalam pekerjaan bagi tahun 2015; 176,105 pekerjaan (2016); 183,433 pekerjaan (2017) dan 168,677 pekerjaan (2018).
Dalam pada itu, bagi tempoh Januari hingga November tahun ini, JobsMalaysia menganjurkan sebanyak 297 Karnival Kerjaya dan 1,464 temu duga terbuka di seluruh negara yang merupakan sebahagian daripada Dasar Pasaran Buruh Aktif.
Bagi menggalakkan rakyat Malaysia memasuki pasaran buruh, portal itu turut menjalankan ‘Holiday Placement for Students’ (Hops) iaitu program khusus untuk pelajar-pelajar di kolej atau institusi pengajian tinggi (IPT), bekerja semasa cuti semester serta menjalin kerjasama dengan kaunselor dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar IPT bagi pelaksanaannya.
Selain itu, program kerjasama antara agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta Perbadanan Putrajaya turut diadakan melalui integrasi sistem pengiklanan kekosongan jawatan dan pengambilan.
JobsMalaysia turut menjalinkan kerjasama dengan Agensi Pekerjaan Swasta (APS) bagi penempatan rakyat tempatan dalam pasaran buruh dengan APS yang berlesen di bawah Jabatan Tenaga Kerja dan ia dilaksanakan di seluruh negara melalui pusat-pusat JobsMalaysia. - Bernama