SINGAPURA - Tindakan seorang lelaki menyeludup 10 ekor kala jengking hutan Asia dalam sebuah kotak tisu yang diubah suai di laluan kenderaan Kompleks Kastam dan Imigresen (KIK) Woodlands membawa padah apabila dia didenda AS$2,800 (RM8,552) oleh Mahkamah Singapura.
Hakim Shaifuddin Saruwan menjatuhkan hukuman itu ke atas Yeo Beng Heng kelmarin.
Lelaki berusia 64 tahun itu turut mengaku bersalah terhadap 10 pertuduhan mengimport haiwan liar secara haram.
Menurut keterangan mahkamah, Beng Heng membeli kala jengking tersebut di sebuah kedai di Johor Baru pada 26 Mac lalu.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) dalam satu kenyataan berkata, haiwan berbisa itu ditemui semasa pemeriksaan rutin di KIK.
"Semasa ditemui, beberapa kala jengking tersebut dalam keadaan lemah. Sebahagian daripada kaki dan ekornya juga hampir tertanggal," katanya.
Mengimport mana-mana haiwan termasuk burung ke Singapura tanpa lesen adalah satu kesalahan dan jika didapati bersalah, seseorang itu berdepan denda maksimum S$10,000 (RM30,000) atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.
Kala jengking hutan Asia mampu membesar 10 hingga 12 sentimeter dan amat berbisa tetapi tidak membawa maut.
Sengatannya boleh menyebabkan rasa sakit dan kebas selama beberapa jam. - Agensi