Terminal Feri Labuan sesak menjelang Krismas

Iklan
Ratusan penumpang dan kenderaan berpusu-pusu masuk ke Feri Kimanis 1 bagi perjalanan dari Labuan ke Menumbok hari ini. - Foto Bernama

LABUAN - Orang ramai yang mahu menyambut Krismas dari Labuan berdepan masalah kesesakan di pintu masuk utama Terminal Feri Labuan ekoran tiket feri (untuk kenderaan) ke tanah besar Sabah melalui Menumbok sudah habis dijual.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli berkata, kesesakan di terminal feri Roll on-Roll Off (RORO) masih berulang kerana pengendali feri hanya menyediakan satu perjalanan tambahan dari Labuan ke Menumbok, bertentangan dengan keputusan awal sebelum ini iaitu dua perjalanan pada setiap hari.

Iklan
Iklan

Rozman berkata, kedua-dua pengendali feri perlu bertanggungjawab atas kegagalan mereka untuk mengatasi permintaan yang semakin meningkat daripada pengunjung yang telah merancang awal untuk pulang ke rumah sempena perayaan Krismas.

"Kami percaya jumlah pengunjung yang terkandas untuk mendapatkan tiket feri ke tanah besar ketika sambutan Krismas semakin meningkat," katanya.

Iklan

Pengendali feri, Labuan Mainland Link Sdn Bhd mengendalikan feri Putrajaya 1, Kimanis 1 dan Goodwill Star manakala Juta Bonus Sdn Bhd hanya mengendalikan satu feri iaitu Galaxy.

Pada operasi hari biasa (bukan pada musim perayaan), feri Putrajaya 1 beroperasi dua kali sehari dari Labuan - Menumbok - Labuan, feri Kimanis 1 (dua perjalanan), feri Goodwill Star hanya satu perjalanan setiap hari manakala feri Galaxy beroperasi dua kali sehari.

Iklan

Labuan Point Sdn Bhd, syarikat pengurusan tiket untuk Labuan Mainland Link meletakkan notis di tingkap kaunter memaklumkan tiket untuk tarikh 19 hingga 22 Disember telah habis dijual manakala Binabalu Sdn Bhd, syarikat pengurusan tiket Juta Bonus Sdn Bhd pula mengesahkan tiketnya juga telah habis dijual pada tarikh 19 Disember hingga hari perayaan pada 25 Disember.

"Walaupun diberitahu oleh pengendali feri bahawa perkhidmatan tambahan telah disediakan, mereka masih gagal mengatasi kehadiran besar-besaran (para pengunjung)... menyebabkan pengunjung yang berada dalam senarai menunggu feri dalam ketidakpastian sama ada mereka dapat pulang ke rumah atau sebaliknya," kata Rozman.

Pengurus Binabalu Sdn Bhd, Lo Pei Ling memberitahu Bernama, tidak ada keperluan untuk menambah dua perjalanan tambahan sempena perayaan Krismas kerana mereka yang gagal membeli tiket feri akan ditempatkan dalam senarai menunggu.

"Kami percaya mereka dalam senarai menunggu akhirnya akan sampai ke tanah besar," katanya. - Bernama