SHAH ALAM - Pusat kutipan zakat tertakluk kepada prosedur kewangan yang ketat dalam menguruskan dana awam bagi memastikan pengagihan bayaran zakat benar-benar disalurkan kepada penerima yang layak.
Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang, MAINPP (ZPP, MAINPP), Amran Hazali berkata, masyarakat harus memahami bahawa badan itu perlu menjalankan tugas dengan teliti dan terdapat pelbagai kategori permohonan mesti disertakan dengan maklumat lengkap.
"Kami diaudit setiap tahun dengan menyemak semua perbelanjaan secara formal atau tidak formal.
"Ada justifikasi tertentu yang perlu dijelaskan supaya wang zakat itu disalurkan dengan tepat dan efektif serta mengikut syarat ditetapkan,” katanya ketika mengulas dakwaan kesukaran mendapatkan bantuan daripada pusat zakat berbanding agensi lain pada Wacana Sinar Harian Siri 146 di sini kelmarin.
Amran turut menjelaskan, kelewatan permohonan boleh berlaku sekiranya maklumat diberi pemohon tidak lengkap untuk direkodkan.
Dalam pada itu katanya, pusat kutipan zakat turut menyediakan bantuan kecemasan dalam bentuk wang tunai yang diberikan dalam kadar segera.
Di Pulau Pinang contohnya, pihaknya memberi bantuan kecemasan sehingga RM300 sekiranya kes itu dikenal pasti benar dan mempunyai dokumentasi.
"Ada bukti yang jelas, maka tiada masalah diberikan bantuan segera dan disiasat untuk bantuan selanjutnya. Di Pulau Pinang, kita ada 118 skim bantuan,” katanya.
Amran berkata, pengagihan zakat berkemungkinan dilihat menyusahkan oleh segelintir pihak melibatkan jangka masa pendek, namun ia sebenarnya mempermudahkan penerima bagi tempoh jangka panjang.
"Zakat juga mendidik umat Islam untuk mensyukuri nikmat rezeki selain menyucikan diri daripada dosa-dosa. Sebab itu, pusat zakat berhati-hati mengagihkan bantuan zakat kerana ia satu amanah dan akan disoal di akhirat kelak,” katanya.