RUSIA - Juara dunia kelas ringan UFC, Khabib Nurmagomedov mengikut jejak Mesut Ozil dengan memberi sokongan dan mempertahankan etnik Muslim Uighur yang ditindas kerajaan China.
Sokongan tersebut dinyatakan Khabib melalui Instagram miliknya dan turut memuat naik video yang berdurasi 6 minit 36 saat memaparkan tentang sejarah etnik Uighur, lapor CNN memetik sumber.
Dalam pada itu, Khabib juga turut memuat naik status di bawah video tersebut yang memberi sokongan kepada Muslim Uighur yang menjadi mangsa korban dan ditindas dengan kejam di wilayah Xinjiang, China.
"Ya Allah, berilah kemudahan untuk para saudara kami, Uighur,” tulis Khabib melalui Instagram (IG) Story.
Perkongsian Khabib kini tular di media sosial dan rata-rata netizen juga memberi sokongan kepada dirinya dan umat Islam kaum Uighur yang ditindas dengan kejam di negara kuku besi tersebut.
"Terima kasih Khabib kerana anda berani bersuara demi kaum Muslim Uighur yang diseksa dengan kejam oleh pemerintah China. Biarpun kita menerima kritikan daripada penyokong dari China seperti Mezut Ozil tetapi dengan cara inilah mampu membuka mata masyarakat dunia,” tulis Amstrong di Instagram.
Adam Ba pula memberitahu,"Syabas Khabib atas keberanian anda menyuarakan penindasan yang dikenakan terhadap kaum Uighur. Bukan sahaja umat Islam malah masyarakat dunia tidak kira agama harus bersatu menentang penindasan ini.”
Khabib dikenali sebagai peninju Muslim yang taat pada agamanya dan juga peninju Muslim pertama bergelar juara dunia UFC ketika mengalahkan Al Iaquinta pada 7 April 2018.
Khabib dijadualkan bakal mempertahankan gelaran juara dunia kelas ringan UFC miliknya apabila bakal bertembung dengan Tony Ferguson pada UFC 249 di New York, Amerika Syarikat pada 18 April 2020.
Khabib bukan atlet berpengaruh pertama yang mengungkapkan sokongan untuk Muslim Uighur.
Sebelum ini, bintang Arsenal Mesut Ozil telah menyatakan sokongannya melalui laman Instagram.
Bekas pemain Real Madrid itu turut menyebut Xinjiang sebagai Turkistan Timur.