Peluang lebih baik punca pelarian Islam cari perlindungan di Eropah

Iklan
Sultan Nazrin ketika menyampaikan Titah Diraja Majlis Penutup Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah antara sebab pelarian negara Islam mencari perlindungan di Eropah kerana percaya peluang lebih baik di negara berkenaan.

Sultan Nazrin bertitah, mereka juga percaya bahawa negara-negara berkenaan menawarkan akses yang terbaik dalam pendidikan dan keselamatan kewangan.

Iklan
Iklan

"Paling penting iaitu kebebasan, maruah dan hak asasi iaitu yang dirampas daripada negara asal sendiri.

"Sebagai negara Muslim yang mempunyai kemakmuran, kestabilan, lebih membangun dalam bidang teknologi, pendidikan dan peluang pekerjaan, ia boleh menjadi tempat terbaik menawarkan harapan, keselamatan dan kehidupan produktif pelarian yang mencari harapan segar dan rumah baharu," titah baginda.

Iklan

Baginda bertitah dalam Titah Diraja Majlis Penutup Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Sultan Nazrin juga merujuk kepada pelarian Syria dan bertitah mereka memilih Eropah sebagai tempat perlindungan sedangkan beberapa negara Islam lain terletak bersebelahan.

Iklan

Baginda membangkitkan satu kisah menyentuh perasaan iaitu nasib seorang kanak-kanak Syria berusia tiga tahun, Alan Kurni yang lemas di Laut Mediterranean demi mencari perlindungan pelarian di Eropah.

Baginda juga bertitah, negara Islam boleh membiayai aktiviti kemanusiaan serta mempunyai pengaruh lebih besar bagi memastikan dunia menumpukan perhatian terhadap krisis kemanusiaan melanda pelarian Muslim.

Sultan Nazrin bertitah, negara Islam harus menangani keperitan yang dihadapi umat Islam tanpa negara di seluruh dunia seiring dengan proses meneruskan agenda pembangunan negara masing-masing.

Titah baginda, negara-negara Islam juga perlu banyak berbincang dan mengenai perkara tersebut.

"Kita mempunyai tanggungjawab penting terhadap saudara sesama Islam kita yang tidak bernegara dan kita perlu melakukan usaha yang lebih baik untuk membantu dengan menawarkan tempat berteduh dan memberi sinar kepada golongan ini," titah baginda.

Sultan Nazrin mengakui bahawa beberapa negara majoriti Islam seperti Turki, Lubnan, Jordan, Pakistan dan Iran sudah pun melakukan peranan masing-masing dengan menerima sejumlah besar pelarian.

"Oleh itu, lebih banyak daripada kita dapat berusaha gigih untuk meningkatkan kesedaran, menyumbang kepada dialog global dan menyediakan pembiayaan dan sokongan material yang amat diperlukan dalam bantuan kemanusiaan,” titah baginda.