KUALA LUMPUR - Universiti Teknologi Mara (UiTM) menanggung kerugian sebanyak RM58.57 juta ekoran ramai penerima biasiswa di peringkat pengajian doktor falsafah (PhD) dan Sarjana gagal mencapai objektif ditetapkan.
Sehubungan itu Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi menjelaskan, potensi kerugian universiti awam itu terhadap ganti rugi belum tuntut berjumlah RM51.08 juta berdasarkan audit pada 2021.
"Penemuan audit berkaitan Tuntutan Ganti Rugi Penghutang Pecah Kontrak (pemegang biasiswa mungkir perjanjian) UiTM turut menemui hapus kira terhadap penghutang pecah kontrak berjumlah RM6.23 juta dan ganti rugi berjumlah RM1.26 juta tidak dapat dituntut.
"Selain itu seramai 1,496 pemegang biasiswa mungkir dengan nilai tuntutan ganti rugi keseluruhan berjumlah RM117.16 juta pada tahun berkenaan," katanya menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 yang diterbitkan pada Selasa.
Daripada jumlah itu katanya, baki seramai 259 penghutang pecah kontrak pula masih belum diambil tindakan tuntutan ganti rugi dengan nilai tuntutan keseluruhan berjumlah RM52.34 juta.
Oleh yang demikian Wan Suraya berkata, pengurusan institusi pengajian awam itu disyor melaksanakan penambahbaikan bagi memastikan tindakan pematuhan dipatuhi sepenuhnya.
"Memastikan pekeliling, prosedur kerja dan kontrak yang berkuat kuasa dipatuhi, dilaksanakan, dipantau dengan cekap dan berkesan bagi tuntutan ganti rugi ke atas Pemegang Biasiswa yang pecah kontrak.
"Menambah baik koordinasi, komunikasi dan pemantauan kerja antara BKK UiTM, Unit Kewangan Zon 2, Pejabat Bendahari dan Pejabat Penasihat Undang-undang (PUU) UiTM, sama ada di peringkat pelaksanaan atau pengurusan tertinggi berhubung tindakan perundangan dan kutipan semula Wang Awam.
"Serta memastikan pekeliling dan kontrak tuntutan ganti rugi ditambah baik antaranya menerangkan secara terperinci prosedur kerja bagi pemberhentian tindakan undang-undang terhadap penghutang pecah kontrak yang tamat pengajian di luar tempoh pengajian sepatutnya," katanya.