JELI - Pengalaman suami yang menceburi industri penternakan ikan lebih empat tahun lalu memberi idea kepada seorang wanita untuk menanam buluh manis sebagai sumber makanan haiwan itu.
Usaha Azlinee A Kadir, 34, dari Kampung Gemang di sini sekali gus menjadikannya sebagai penanam tunggal buluh manis spesies Bambusa Beecheyana di Semenanjung.
Menurut Azlinee, kira-kira RM60,000 diperuntukkan sebagai modal permulaan menanam buluh yang turut boleh dikomersialkan sebagai industri makanan dan pembangunan.
"Saya memikirkan industri makanan haiwan kini semakin mahal dan perlu mencari alternatif bagi mengurangkan kos penternak yang dihimpit masalah itu," katanya pada Isnin.
Beliau yang ditemui di ladang itu memberitahu, tanaman berkenaan juga boleh menggantikan jagung, kacang soya selain sesuai sebagai makanan lembu dan ayam kerana mengandungi kadar serat yang tinggi.
Tanaman itu juga katanya, bermula selepas beliau memikirkan kaedah mendapatkan karbon bagi tujuan penyuburan tanah secara alami dan membantu menyejukkan suasana di kawasan kebunnya.
Azlinee yang mendapat sokongan suami, Che Azmi Che Mahmood, 60, turut mendakwa buluh yang tiada miang itu mempunyai nilai tinggi dalam perubatan terutama untuk mencuci buah pinggang dan pesakit strok.
"Daun buluh ini sudah boleh diambil selepas setahun ditanam untuk dijadikan teh. Ia sudah terbukti kerana sebuah universiti tempatan berjaya mengeluarkan produk berkenaan selepas beberapa tahun melakukan kajian.
"Saya percaya buluh ini juga dapat membantu mengurangkan beban kewangan petani dan penternak selepas kejayaan kajian selama 40 tahun termasuk dalam pembuatan gula dan minyak sayur," katanya.
Beliau juga berhasrat menambah bilangan tanaman itu sebagai persediaan meningkatkan industri berkenaan dalam tempoh lima tahun lagi dengan mempunyai 1,200 hektar.
"Kini saya mempunyai 480 rumpun buluh di atas tanah seluas 2.4 hektar dan setiap rumpun boleh mengeluarkan 200 batang buluh setahun," katanya.
Jelasnya lagi, tidak sukar menanam buluh ini kerana hanya memerlukan konsep tiga T iaitu tanam, tinggal dan tuai.
"Selepas dua tahun, buluh ini boleh mencecah setinggi 12.2 meter dengan ukur lilit di antara lima hingga lapan inci manakala berat pula 35 hingga 40 kilogram," katanya.