Jabatan Audit Negara kemuka tiga syor kepada kerajaan

Iklan
Malaysia menunjukkan prospek ke arah pemulihan ekonomi selepas pandemik dengan Laporan Ketua Audit Negara tahun ini mempamerkan prestasi kewangan yang stabil dan meningkat.

KUALA LUMPUR - Jabatan Audit Negara mengemukakan tiga syor kepada kerajaan bagi Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2022.

Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, syor itu adalah bagi pengesahan penyata kewangan berkenaan antaranya supaya kerajaan meningkatkan disiplin perbelanjaan mengurus, memperkasa usaha penjanaan hasil dan pemantauan bayaran balik pinjaman.

Iklan
Iklan

"Kedua untuk memastikan dana kumpulan wang pembangunan dibelanjakan bagi projek-projek fizikal dan bukan fizikal yang termasuk di bawah Rancangan Pembangunan Malaysia lima tahun.

"... dan ketiga untuk memastikan setiap pelaporan dan persembahan dalam butiran penyata kewangan adalah selaras dengan piawaian perakaunan dan peraturan kewangan," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen pada Selasa.

Iklan

Berdasarkan ringkasan eksekutif Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), syor itu antara lain merupakan langkah penting supaya lebihan hasil dapat ditingkatkan bagi membiayai perbelanjaan pembangunan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman baharu.

Wan Suraya juga berkata, Malaysia menunjukkan prospek ke arah pemulihan ekonomi selepas pandemik dengan Laporan Ketua Audit Negara tahun ini mempamerkan prestasi kewangan yang stabil dan meningkat.

Iklan

"... secara keseluruhan, ia jauh lebih baik berbanding tahun lepas, ia stabil dan saya berpendapat bahawa jika kita terus membayar hutan dan pada masa sama menjana lebih banyak wang serta lebih banyak wang diperuntuk bagi belanja pembangunan, saya rasa ia adalah jalan ke arah pemulihan. Kita tidak sabar menantikan apa yang akan dibentang oleh Kementerian Kewangan (MOF) Jumaat ini.

"Ia juga adalah apa yang kita bayangkan dan apa yang kami, sebagai Jabatan Audit Negara, terus mendesak MOF agar memastikan terdapat lebih banyak peruntukan kepada Kumpulan Wang Pembangunan dan pada masa sama, menguruskan hutang," katanya.

LKAN dibentang di Parlimen setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 26 September lepas dan ia mengandungi 15 naskhah membabitkan dua di peringkat Persekutuan iaitu Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2022 serta Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan Tahun 2021.

Sebanyak 13 naskhah lagi ialah LKAN peringkat negeri mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Agensi Negeri serta Pengauditan Pematuhan Kementerian/Jabatan/Agensi Negeri Tahun 2022. - Bernama