KUALA SELANGOR - Sebanyak 5,695 kes kebankrapan direkodkan Jabatan Insolvensi pada tahun lalu.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, daripada jumlah itu, seramai 419 belia berumur 25 hingga 34 tahun, yang rata-ratanya baharu memulakan kehidupan dan kerjaya diisytihar bankrap.
Menurut beliau, sehingga Ogos lalu, seramai sembilan individu di bawah umur 25 tahun mengalami masalah kebankrapan.
"Golongan belia bankrap amat membimbangkan dan pinjaman peribadi merupakan punca terbesar yang menyumbang kepada 46.8 peratus selain pinjaman perniagaan, perumahan, sewa beli dan kad kredit," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar selepas Konvensyen Literasi Kewangan Belia Peringkat Kebangsaan 2023 di Dewan Berlian Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, di sini pada Selasa.
Sehubungan itu, katanya, sekiranya kerajaan tidak melakukan intervensi seperti mengadakan kursus literasi kewangan, dibimbangkan lebih ramai belia terjebak dengan pinjaman peribadi selain ia turut membebankan kerajaan.
"Kursus literasi kewangan ini penting bagi membantu mereka menyedari dan bagaimana berbelanja secara berhemah," ujarnya.
Katanya, Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (iLEAD) akan meneruskan siri jelajah mereka menerusi Program Sekolah Rukun Negara.
"Program berkenaan merupakan kelas demokrasi yang diwujudkan khas serta diselaraskan iLEAD bermula tahun ini.
"Sehingga kini, seramai 60,000 golongan belia telah mengikuti kelas demokrasi dan ini adalah satu program di bawah rakan muda," ujar beliau.
Hannah memberitahu, menerusi penganjuran program itu, kementeriannya mahu memastikan belia dapat menggunakan hak mengundi selain mengenali perbezaan di antara Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Mereka juga diberi pendedahan bagaimana harus memilih wakil rakyat dan bidang kuasa masing-masing.
"Saya percaya dengan adanya kelas pencegahan intervensi seperti ini, golongan belia mempunyai kemahiran lebih banyak dan dapat membantu mereka membuat keputusan dalam aktiviti harian," tambah beliau.