'Ada anggota polis golongan B40, miskin bandar'

Iklan
Mohd Shuhaily

GEORGE TOWN - Setiap anggota baharu dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh dikategorikan sebagai B40 apabila menerima gaji permulaan sebanyak RM1,441.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, paling menyedihkan apabila anggota dalam kategori terbabit ditugaskan di kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

"Tangga gaji mereka berada pada tahap yang amat menyedihkan, malah boleh dianggap sebagai miskin bandar," katanya ketika dipetik menerusi rakaman video di Facebook rasmi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) pada Selasa.

Ucapan amanat Mohd Shuhaily itu dihadiri oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Kontinjen, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) seluruh Malaysia bertempat di Kompleks Cahaya, Universiti Sains Malaysia pada Jumaat.

Iklan

Mohd Shuhaily berkata, apabila ada anggota polis baharu tandatangan sebagai konstabel tangga gaji mereka adalah RM1,441.

"Apabila dia habis tamat latihan keluar rekrut jawatan sama, mereka dapat gaji bersama elaun sebanyak RM1,800 dan bawa balik gaji bersih RM1,500,"

Iklan

"Boleh anda hidup di Kuala Lumpur dengan jumlah gaji sebegitu? Itu tidak mengambil kira lagi kos biaya penyakit, anak golongan kurang upaya (OKU), biaya hospital sehingga ada yang mendapatkan rawatan tiga kali seminggu," katanya.

Mohd Shuhaily berkata, ketua atau penyelia, perlu ambil tahu dan kenal pasti anggota yang mengalami nasib seperti itu.

"Sekiranya tuan boleh bantu maka bantulah," katanya.

Beliau berkata, selain masalah anggota kategori B40, terdapat juga pegawai atau anggota yang sanggup menolak kenaikan pangkat kerana tidak mahu berpindah ke tempat tugas baharu yang mungkin akan lebih membebankan keluarganya yang mengalami pelbagai jenis penyakit.

"Ada anggota datang jumpa saya beritahu, Datuk saya terpaksa tolak kenaikan pangkat kerana isteri lumpuh, anak berusia 21 tahun dan seorang lagi 20 tahun, kedua-dua mengalami penyakit 'Cerebral Palsy'.

"Setiap pagi saya kena angkat mereka untuk bersihkan, pakaikan baju dan siapkan segala keperluan mereka sebelum saya keluar bekerja," katanya.

Mohd Shuhaily, anggota polis itu turut memaklumkan walaupun dalam keadaan begitu, isterinya berusaha masak nasi lemak dan dia tolong jualkan di tempat kerja.

"Elaun dia keluar untuk kerja adalah untuk pembiayaan perubatan dan dia ada masa untuk anak-anak, sekiranya ditukarkan tugas, dia tak boleh membahagikan masa bersama keluarga," katanya.

Beliau berkata, sebagai seorang ayah dan suami, belum tentu dapat melaksanakan tanggungjawab seperti anggota terbabit.

Dalam pada itu Mohd Shuhaily turut menyatakan komitmennya untuk menyelesaikan segala masalah logistik yang dihadapi jabatannya, meskipun modal dan aset JSJ berada pada tahap yang amat menyedihkan.

"ALLAH SWT tempatkan tuan-tuan di sini (JSJ) dengan penuh kasih sayang, dengan penuh rasa hormat supaya tuan-tuan dapat melaksanakan dan memudahkan tugas dan saya telah tengok kejayaan seseorang anggota yang jauh lebih baik daripada saya.

"Apakah kejayaan itu? Kejayaan itu adalah dia sihat, anak dia berjaya dan keluarga dia bahagia dan hingga akhirnya, kita harus berubah kepada kejayaan seperti ini," katanya.