RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk 25 ekor lembu jantan dari Thailand berjumlah RM150,000 di Kampung Nechang, Tumpat, dekat sini awal pagi tadi.
Serbuan jam 1 pagi itu dilakukan hasil maklumat risikan oleh anggota pasukan berkenaan yang membawa kepada penahanan sebuah lori.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam serbuan itu, pihaknya berjaya menahan pemandu lori berusia 21 tahun itu.
"Hasil pemeriksaan lanjut dilakukan ke atas lori itu membawa kepada penemuan 25 ekor lembu jantan," katanya.
Menurutnya ketika ditahan, pemandu kenderaan tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan dengan haiwan terbabit.
Katanya, kesemua barangan rampasan termasuk kereta dan pemandu dibawa ke Balai Polis Tumpat untuk siasatan lanjut.
"Nilai keseluruhan rampasan termasuk lori berjumlah RM230,000," katanya.
Azhari berkata, pihaknya akan terus melipatgandakan operasi dalam membanteras sebarang aktiviti melibatkan jenayah rentas sempadan.