PERBADANAN Stadium Malaysia (PSM) teruja untuk mengalu-alukan kedatangan penyokong Harimau Malaya ke Stadium Nasional, Bukit Jalil pada aksi Pestabola Merdeka 2023, Jumaat ini.
Pengerusi PSM, Datuk Hans Isaac berkata, selain rumput, stadium yang menjadi kebanggaan Harimau Malaya itu juga telah ditambah baik dari segi fasiliti yang akan memberikan keselesaan kepada penyokong.
"Akan ada dua perlawanan berlangsung nanti dan kami harap Malaysia akan ke final. Tanggungjawab kami di PSM adalah persediaan padang dan semua penyokong yang datang ke stadium nanti.
"Kami baiki tandas, tempat solat macam-macam kita buat yang orang ramai tak tahu lagi. Saya harap rakyat Malaysia akan bangga dengan apa yang kami buat," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem 'Harimau Malaya: The Untold Journey' arahan Datuk Afdlin Shauki pada Selasa.
Skuad Harimau Malaya akan menggunakan padang baharu yang ditanam rumput Zeon Zoysia itu ketika perlawanan Pestabola Merdeka menentang India pada Jumaat.
"Saya tak boleh maklum banyak sangat sebab pelancarannya pada Khamis ini yang mana akan dilakukan TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) kerana ini adalah inisiatif beliau.
"Bagi saya kita harus tunggu untuk pelancaran itu sebab tanggungjawab PSM adalah mengenai persiapan.
"Kami teruja untuk pasukan Malaysia berdepan India, Jumaat ini. Tetapi pasukan Harimau Malaya akan diberikan satu sesi lebih awal untuk mencuba padang baharu," katanya.
Sebelum ini, Tunku Ismail menjadi watak penting mencadangkan penukaran tersebut selain menaja kos penanaman rumput tersebut.