Afghanistan 'menangis' lagi

Iklan
Kanak-kanak Afghanistan berehat di kawasan terbuka bersebelahan rumah mereka yang ranap di perkampungan Sarbuland, wilayah Herat. - Foto AFP

HERAT - Jumlah kematian akibat beberapa siri gempa bumi di barat Aghanistan meningkat mendadak kepada lebih 2,000 orang ketika anggota penyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa terperangkap di bawah runtuhan.

Gempa bumi berukuran 6.2 magnitud pada Sabtu dan disusuli lapan gegaran kuat yang menggegarkan kawasan terletak 30 kilometer di barat laut wilayah Herat meranapkan rumah sehingga menyebabkan penduduk terpaksa berteduh atas jalan raya.

Iklan
Iklan

"Malangnya, jumlah korban dijangka meningkat melebihi 2,000 orang. Kami sedang menunggu untuk melihat berapa jumlah mangsa terkorban,” menurut jurucakap kerajaan, Bilal Karim pada awal Ahad.

Pada malam Sabtu di perkampungan Sarboland di daerah Zinda Jan, wartawan AFP menyaksikan puluhan rumah yang terletak berhampiran pusat gempa telah ranap.

Iklan

Kelihatan sekumpulan lelaki menyodok timbunan batu hancur, manakala golongan wanita dan kanak-kanak menunggu di kawasan terbuka.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 600 rumah musnah atau sebahagiannya rosak melibatkan kira-kira 12 kampung di wilayah Herat dengan kira-kira 4,200 orang terjejas.

Iklan
Penduduk Afghanistan memindahkan serpihan rumah mereka yang runtuh selepas gempa bumi kuat melanda daerah Zendeh Jan. - Foto AFP

"Ketika gempa pertama, semua rumah ranap. Mereka yang berada di dalam rumah turut tertimbus,” kata penduduk, Bashir Ahmad, 42.

Semua bertukar menjadi ‘pasir’Seorang lagi penduduk, Nek Mohammad memberitahu AFP, dia sedang bekerja semasa gempa bumi berlaku sekitar jam 11pagi (waktu tempatan).

"Kami pulang ke rumah dan terkejut kerana tiada apa-apa lagi yang tinggal. Segala-galanya bertukar menjadi ‘pasir’,” katanya sambil menambah, kira-kira 30 mayat telah ditemui.

WHO berkata, sehingga lewat Sabtu jumlah mangsa dijangka meningkat kerana operasi mencari dan menyelamat sedang diteruskan.

Di bandar Herat, penduduk lari meninggalkan rumah, sekolah, hospital dan pejabat semasa gempa pertama berlaku.

Bagaimanapun, terdapat sedikit laporan kematian di bandar metropolitan itu.

Afghanistan dihimpit krisis ke-manusiaan yang teruk apabila negara-negara asing menarik balik bantuan besar-besaran selepas kumpulan Taliban kembali berkuasa pada 2021.

Rumah penduduk yang ranap selepas gempa bumi 6.2 magnitud melanda Herat. - Foto Xinhua

Wilayah Herat yang didiami kira-kira 1.9 juta orang dan terletak bersempadan dengan Iran turut dilanda kemarau selama bertahun-tahun yang telah melumpuhkan sektor pertanian.

Aghanistan sering dilanda gempa bumi terutama di banjaran gunung Hindu Kush yang terletak berhampiran plat tektonik Eurasia dan India.

Lebih 1,000 orang terbunuh dan puluhan ribu kehilangan tempat tinggal pada Jun tahun lalu selepas gempa bumi dahsyat berukuran 5.9 magnitud melanda wilayah terpencil dan miskin di Paktika. - AFP